Aidilfitri: Cuti 117,000 anggota, pegawai polis dibeku

Saifuddin Nasution - Foto fail Bernama
Saifuddin Nasution - Foto fail Bernama
A
A
A

SUNGAI BESAR - [DIKEMAS KINI] Cuti kira-kira 117,000 anggota dan pegawai Polis Diraja Malaysia (PDRM) di seluruh negara dibekukan sebagai persiapan bagi penugasan musim perayaan Aidilfitri minggu depan.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, hanya 10 peratus daripada 130,000 jumlah keanggotaan perkhidmatan awam itu dibenarkan bercuti dan pulang berhari raya.

Menurutnya, meskipun dalam musim perayaan, namun penugasan PDRM amat penting dan tidak sesekali berkrompromi dari segi tanggungjawab menjaga keselamatan dan mengekalkan keharmonian serta keamanan negara.

"Kita akan berikan cuti selepas perayaan secara bergilir-gilir kerana itu adalah kaedah untuk menentukan bahawa aspek keselamatan negara tidak terjejas walaupun pada musim perayaan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada sidang akhbar selepas Majlis Berbuka Puasa PDRM bersama Penduduk Sungai Haji Dorani di Surau Riyadhus di sini pada Rabu.

Saifuddin berkata, cuti PDRM disusun mengikut formula seperti yang dibuat sebelum ini iaitu 90 peratus bekerja dan baki 10 peratus lagi bercuti.

Saifuddin (dua dari kiri) menyampaikan sumbangan kepada salah seorang wakil penduduk semasa Majlis Berbuka Puasa PDRM bersama penduduk Sungai Haji Dorani di Surau Riyadhus, Sungai Besar pada Rabu.
Saifuddin (dua dari kiri) menyampaikan sumbangan kepada salah seorang wakil penduduk semasa Majlis Berbuka Puasa PDRM bersama penduduk Sungai Haji Dorani di Surau Riyadhus, Sungai Besar pada Rabu.

Ujar beliau, pemberian cuti itu dibuat secara adil kepada semua anggota dan pegawai bagi memastikan semua elemen keselamatan terkawal.

"Semua perkara perlu diambil kira seperti penugasan kawalan trafik yang meningkat pada musim perayaan ini.

"Selain itu, elemen keselamatan lain juga diberi tumpuan kerana pada musim cuti ini juga masyarakat balik kampung dan meninggalkan kediaman atau premis perniagaan untuk pulang ke kampung," jelas beliau.

Justeru, katanya, polis akan meningkatkan rondaan pencegahan jenayah bagi memastikan kawasan perumahan selamat.

Dalam pada itu, katanya, polis turut memberi tumpuan mempertingkatkan lagi langkah keselamatan di semua pos kawalan Pasukan Gerakan Am (PGA) seluruh negara.

Beliau memberitahu, usaha itu dilakukan bagi mengekang pencerobohan di perairan negara seperti isu penyeludupan sama ada pendatang tanpa izin (Pati) atau dalam bentuk barangan rampasan.

Malah, katanya, beliau dan Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani turut diberikan taklimat dan statistik penangkapan sepanjang tahun semasa melakukan lawatan di beberapa PGA di Selangor pada Rabu.

"Saban tahun, secara purata angka atau jumlah rampasan sama ada penyeludupan manusia atau barangan ini sekitar 700 hingga 800 semuanya.

"Ini menunjukkan betapa pentingnya pos kawalan PGA ini dalam menangani isu pencerobohan dan penyeludupan dalam negara," jelasnya.