KKM hasil pelan strategik kurangkan gula rakyat Malaysia

Dr Zaliha - Foto Bernama
Dr Zaliha - Foto Bernama
A
A
A

SHAH ALAM - Kementerian Kesihatan (KKM) telah menghasilkan Pelan Strategik Mengurangkan Gula dalam Kalangan Rakyat Malaysia (2023-2025) yang akan melibatkan tindakan multi-sektoral.

Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa berkata, perkara tersebut dimaklumkan dalam Mesyuarat Majlis Keselamatan Makanan dan Pemakanan Kebangsaan Keenam Belas (MKMPK-16) yang diadakan di Ibu Pejabat KKM pada Selasa.

“Dalam mesyuarat ini, satu usul telah dibentangkan bagi melaksanakan Pensijilan Makanan Selamat KKM sebagai syarat perkhidmatan pembekalan makanan semasa mesyuarat dan majlis rasmi di semua fasiliti kementerian di Putrajaya.

“Perkara ini perlu diperhalusi sebelum tindakan selanjutnya dilaksanakan," katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Dr Zaliha berkata, mesyuarat turut dimaklumkan mengenai Dasar Keselamatan Makanan Kebangsaan, sistem pemantauan secara dalam talian bagi Pelan Tindakan Pemakanan Kebangsaan Malaysia (MS-NPANM) dan pelaksanaan perjanjian peringkat ASEAN berkaitan pemeriksaan dan pensijilan bagi produk makanan.

“Selain itu, pewartaan akuan nutrien baharu bagi asid lemak trans dan akuan fungsi baharu bagi antioksidan daripada minyak sawit serta komitmen industri dalam penghasilan produk makanan dengan pilihan lebih sihat,” katanya.

Dalam pada itu, Dr Zaliha berkata, mesyuarat yang dipengerusikan olehnya itu turut dihadiri oleh Timbalan Menteri Kesihatan, 18 wakil kementerian atau agensi.

Tambahnya, ia turut merangkumi empat wakil pertubuhan bukan kerajaan (NGO) iaitu Persekutuan Pekilang-Pekilang Malaysia (FMM), Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA), Persatuan Pemakanan Malaysia (NSM) dan Persatuan Kajian Obesiti Malaysia (MASO).

“Mesyuarat ini akan dijadikan platform yang tepat untuk perbincangan dan penyelarasan aktiviti bagi menangani isu-isu terkini keselamatan makanan dan pemakanan untuk meningkatkan penyampaian perkhidmatan bagi kesejahteraan rakyat Malaysia Madani,” ujarnya.