Tengku Zafrul antara dilantik terajui UMNO Selangor 2023-2026

Kenyataan UMNO Selangor dikongsi parti itu di laman Facebooknya pada Rabu.
Kenyataan UMNO Selangor dikongsi parti itu di laman Facebooknya pada Rabu.
A
A
A

SHAH ALAM - UMNO Selangor melantik tiga ketua UMNO bahagian menerajui portfolio majlis mesyuarat baharu diwujudkan dalam usaha membantu parti kekal relevan dan terus mendapat sokongan rakyat.

Menurut kenyataan UMNO Selangor, perkara itu diumumkan Pengerusi UMNO negeri, Datuk Megat Zulkarnain Omardin dalam mesyuarat pertama parti bagi sesi 2023-2026 pada Selasa.

Megat Zulkarnain mengumumkan Ketua UMNO Bahagian Petaling Jaya, Datuk Wira Abdul Mutalif Abdul Rahim sebagai Setiausaha UMNO Selangor yang baharu.

Dua lagi ialah Ketua UMNO Bahagian Kota Raja, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz sebagai Bendahari dan Ketua UMNO Bahagian Bangi, Datuk Dr Mohd Zaidi Md Zain sebagai Ketua Penerangan.

Dalam pada itu, UMNO Selangor akan terus mendukung Kerajaan Perpaduan dan komited untuk memastikan keutuhan kerjasama dalam kerajaan ini demi kestabilan negara.

"UMNO Selangor mengambil maklum perjalanan Sekretariat Kerajaan Perpaduan dan akan mewujudkan Jawatankuasa Kerajaan Perpaduan peringkat negeri dalam masa terdekat serta mengadakan program bersama pimpinan kerajaan negeri.

"UMNO Selangor turut memutuskan rangka kerja dalam penyediaan jentera di setiap peringkat dan juga memulakan gerakan di setiap Pusat Daerah Mengundi (PDM) serta meneruskan perundingan bersama Pakatan Harapan Selangor dalam menentukan pengagihan kerusi-kerusi bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri," kata kenyataan itu.

Tambahnya, UMNO Selangor juga sebulat suara bersetuju dan telah menandatangani memorandum untuk memohon agar kepimpinan tertinggi UMNO membela bekas Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak yang banyak berjasa kepada negara.