Menang PRU 'bukan janji' raih undi majoriti di PRN

Iswardy
Iswardy
A
A
A

SHAH ALAM - [KEMAS KINI] Pemerhati politik menegaskan kemenangan yang diraih pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) tidak semestinya akan membawa kejayaan sama pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang kerana konteks negeri memfokuskan isu tempatan dan bukannya nasional.

Penganalisis politik, Iswardy Morni berkata, isu peringkat nasional kurang memberi impak dalam menentukan pilihan pengundi kerana PRN hanya membicarakan tentang isu yang dibahaskan di peringkat Dewan Undangan Negeri.

“Kita boleh jadikan PRU sebagai rujukan tetapi tidak boleh gunakan ia sebagai satu keputusan yang bakal berlaku kerana ramalan tidak semudah itu.

“Pertama sekali kita perlu faham konsep undi. Ada di antara mereka (pengundi) yang mengundi parti A tetapi PRN dia undi parti B,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam program Wacana Sinar bertajuk PRN: Signal untuk Putrajaya yang disiarkan secara langsung di semua platform digital Sinar Harian pada Selasa.

Turut menjadi panel ialah Ahli Jawatankuasa Pas Pusat, Dr Halimah Ali dan Timbalan Ketua Penerangan PKR, Chua Wei Kiat manakala Ismail Adnan bertindak sebagai moderator.

Iswardy berkata, persepsi manusia boleh berubah dalam jangka masa tiga ke enam bulan di samping perasaan majoriti pengundi atas pagar akan sentiasa bertukar, bergantung kepada suasana dan cara sentimen itu dimainkan oleh parti politik.

Pada masa sama, beliau menjelaskan dahulu Pakatan Harapan (PH) bertembung dengan UMNO tetapi kali ini kedua-duanya adalah satu gabungan entiti dalam kerajaan hari ini.

Dalam pada itu, Iswardy turut berkata, dana juga merupakan faktor penting dalam PRN yang bakal berlangsung kerana akaun parti Bersatu telah dibekukan pada awal Februari.

“Kita dapat lihat, parti itu mempunyai dana yang begitu banyak sewaktu PRU lalu, namun adakah kini mereka mempunyai peruntukan yang sama untuk berhadapan dengan PRN ini,” jelasnya.

Tambah beliau, kekuatan menteri besar bukan penyumbang kepada kejayaan untuk meraih undi tetapi ia bergantung kepada isu asas negeri yang dibangkitkan.

Jelasnya, karisma seorang pemimpin itu sememangnya penting tetapi tidak boleh terlalu bergantung kepada faktor itu untuk meraih kemenangan.