PH mungkin beri laluan kepada UMNO di Kelantan, Terengganu, Kedah

Wei Kiat
Wei Kiat
A
A
A

SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Pakatan Harapan (PH) berkemungkinan akan memberi laluan kepada calon UMNO pada Pilihan Raya Negeri (PRN) di Kelantan, Terengganu dan Kedah.

Timbalan Ketua Penerangan PKR, Chua Wei Kiat berkata, bagaimanapun perkara tersebut masih dalam peringkat perbincangan, namun formulanya sudah ada.

Katanya, tidak sukar untuk mengadakan perbincangan bagi menyelesaikan masalah pertembungan kerusi di ketiga-tiga negeri tersebut.

"Saya tidak menolak kemungkinan akan meletakkan calon daripada UMNO dalam usaha merampas negeri pembangkang itu.

"Kita perlu mencari jalan bagi menawan tiga negeri itu memandangkan pada Pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) kita tewas," katanya pada Selasa.

Beliau berkata demikian selaku panelis pada Wacana Sinar siri 392 bertajuk 'PRN: Signal untuk Putrajaya yang disiarkan secara langsung di Facebook Sinar Harian pada Selasa.

Turut menjadi panel ialah Ahli Jawatankuasa Pas Pusat, Dr Halimah Ali dan pemerhati politik, Iswardy Morni manakala Ismail Adnan bertindak sebagai moderator.

Tambah Wei Kiat, situasi pada hari ini sangat berbeza memandangkan PH dan UMNO kini berada dalam pentadbiran Kerajaan Perpaduan.

"Jadi, rakyat sudah tengok bagaimana kedua-dua parti ini melaksanakan tanggungjawab tersebut. Boleh lihat belanjawan beberapa bulan lalu, banyak bantuan disediakan kepada rakyat dengan memberi tumpuan kepada golongan miskin.

"Bagi Selangor, Pulau Pinang dan Negeri Sembilan, saya optimis bahawa negeri tersebut akan tetap menjadi milik kami. Itu berdasarkan analisis yang dibuat ketika PRU15," ujarnya.