40 kotak rokok seludup ditemui terapung

Kotak mengandungi rokok yang terapung di kira-kira 25 batu nautika dari muara Tok Bali pada Ahad.
Kotak mengandungi rokok yang terapung di kira-kira 25 batu nautika dari muara Tok Bali pada Ahad.
A
A
A

PASIR PUTEH - Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim) Kelantan merampas 40 kotak rokok putih yang disyaki diseludup.

Kesemua kotak rokok yang ditemui itu terapung kira-kira 25 batu nautika dari muara Tok Bali pada Ahad.

Pengarah Maritim Kelantan, Kepten Maritim Syed Nor Adli Syed Ab Rahman berkata, rampasan dibuat pada jam 1 petang ketika bot peronda Maritim sedang melakukan rondaan rutin.

Menurut beliau, pasukan berkenaan menemui beberapa bungkusan berwarna coklat yang timbul di permukaan air dalam keadaan berselerak.

"Anggota bot peronda seterusnya membawa kesemua bungkusan berwarna itu atas bot dan pemeriksaan mendapati kesemua bungkusan itu mengandungi rokok putih yang disyaki diseludup," katanya melalui kenyataan pada Selasa.

Syed Nor Adli memberitahu, rokok tersebut dibawa ke Jeti Maritim negeri untuk siasatan lanjut.

"Kita mengesyaki penyeludup tidak sempat mengambil kesemua rokok terapung itu selepas menyedari kehadiran bot peronda Maritim," katanya.