Tingkat pendapatan pekebun kecil

RISDA sedia peruntukan RM74.76 juta untuk program peningkatan ekonomi

A
A
A

Noraini (dua dari kanan) menyerahkan sumbangan kepada wakil surau Parit Yusof Darat, pada majlis berkenaan.
Noraini (dua dari kanan) menyerahkan sumbangan kepada wakil surau Parit Yusof Darat, pada majlis berkenaan.

BATU PAHAT - Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) menyediakan peruntukan berjumlah RM74.46 juta bagi meningkatkan pendapatan pekebun kecil selain kebergantungan kepada hasil daripada penanaman getah.

Pengerusinya, Datuk Seri Noraini Ahmad berkata, peruntukan berkenaan disediakan berikutan ketidaktentuan pasaran bagi getah dan penurunan produktiviti komoditi berkenaan ketika ini.

Menurutnya, sebanyak RM44.46 juta akan digunakan bagi tujuan Program Aktiviti Ekonomi Tambahan dan Keusahawanan manakala sebanyak RM30 juta akan digunakan bagi Program Agromakanan.

"Kedua-dua bantuan ini bakal memberikan manfaat kepada seramai 13,489 orang ahli RISDA di seluruh negara.

“Bagi negeri Johor, sebanyak RM5.14 juta disediakan untuk dua program tersebut dan sebanyak RM570,000 pula adalah untuk pekebun-pekebun kecil di bawah seliaan Pejabat RISDA di daerah Batu Pahat.

“Bantuan ini akan diberikan oleh Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) melalui RISDA berikutan ketidaktentuan pasaran komoditi getah dan penurunan produktivitinya ketika ini,” katanya.

Noraini turut menyampaikan sumbangan duit raya kepada para pelajar tahfiz.
Noraini turut menyampaikan sumbangan duit raya kepada para pelajar tahfiz.

Noraini berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pekebun Kecil Makmur dan Santunan Kasih Ramadan RISDA Negeri Johor 2023, di Dewan Seri Mahkota, Maktab Rendah Sains MARA (MRSM), di sini, pada Isnin.

Pada majlis yang sama, Noraini turut menyempurnakan penyerahan sumbangan sebanyak RM23,000 kepada tujuh masjid, dua pusat tahfiz, 20 pelajar tahfiz dan 30 golongan asnaf serta anak yatim melalui aktiviti tanggungjawab sosial korporat (CSR), Yayasan RISDA.

Sementara itu, Noraini berkata, pihaknya turut menyediakan peruntukan sebanyak RM63.75 juta bagi Bantuan Khas Kewangan Aidilfitri (BKKA) tahun ini.

Katanya, BKKA kali ini dilihat bakal memberikan manfaat kepada 318,642 pekebun kecil di seluruh negara.

"Penerima BKKA ini adalah daripada kalangan penerima Bantuan Musim Tengkujuh (BMT) Tahun 2022 dan ia disasarkan kepada pekebun kecil getah yang mempunyai kawasan kebun di bawah 2.5 hektar.

“Bantuan ini akan dikreditkan terus ke akaun bank penerima seperti mana yang telah didaftarkan dengan RISDA, manakala semakan bayaran boleh dibuat melalui laman sesawang bmt.risda.gov.my,” jelasnya.