KPM nafi dakwaan bina bilik darjah cecah jutaan ringgit

Fadhlina
Fadhlina
A
A
A

PUTRAJAYA - Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) menafikan dakwaan bekas Menteri Tenaga, Sains, Teknologi dan Perubahan Iklim, Yeo Bee Yin kononnya kos untuk membina sebuah bilik darjah dianggarkan bernilai antara RM1.8 juta sehingga RM2.6 juta.

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, kementerian itu mempunyai proses kerja sedia ada dalam membina dan akan mengikuti panduan yang telah ditetapkan.

"Dakwaan itu tidak tepat kerana isu yang kita nak pertekankan ialah proses kerja itu, ia ada proses kerja yang harus dilalui dan skop kerja, konsultan dan piawaian tertentu yang harus dicapai pihak KPM dalam meneruskan projek terbabit.

"Jadi kenyataan itu tidak tepat dan kita ada penjelasan justifikasi di peringkat KPM," katanya ketika sidang akhbar pelancaran Majlis Ikrar Bebas Rasuah Dan Forum Integriti Kementerian Pendidikan Tahun 2023 di sini pada Selasa.

Fadhlina berkata demikian bagi menjawab dakwaan Ahli Parlimen Puchong itu ketika perbahasan Belanjawan 2023 yang mendakwa kos bagi membina satu bilik darjah sama seperti kos membina sebuah banglo.

Menurut Bee Yin, dari maklumat yang diberikan oleh KPM, kos pembinaan untuk beberapa sekolah adalah Sekolah Kebangsaan Alam Dua sebanyak 30 bilik darjah dengan kos RM54 juta, Sekolah Kebangsaan Paya Dusun Terengganu (24 bilik darjah RM55 juta), dan Sekolah Menengah Kebangsaan Dudong Sibu Sarawak, 42 bilik darjah dengan kos RM110 juta.

“Jika kita kira dari segi purata kos pembinaan satu bilik darjah adalah di antara RM1.8 juta hingga RM2.6 juta,” kata Bee Yin.