Skuad fin swimming mahu naik podium di Kemboja 2023

Ravivarma
Ravivarma
A
A
A

SKUAD fin swimming negara optimis berada di kedudukan terbaik untuk bersaing bagi meraih pingat dalam sukan akuatik pada Sukan Sea Kemboja bulan depan.

Pengurus pasukan, S Ravivarma berkata, biarpun skuad itu masih baharu berbanding negara pesaing seperti Vietnam, Indonesia dan Singapura, namun persiapan rapi dilakukan para atlet sejak beberapa bulan lalu mampu merealisasikan impian tersebut.

Katanya, persiapan para perenang berjalan lancar menerusi latihan pusat di Kuala Lumpur serta program perenang di negeri masing-masing seperti di Melaka, Pulau Pinang dan Selangor.

“Para atlet menunjukkan prestasi yang baik dan mereka sudah bersedia untuk bersaing di Kemboja nanti.

“Malah kali ini kalau ditanya mengenai sasaran pingat, kita nampak peluang cerah merangkul satu atau dua pingat cuma warnanya belum pasti. Ini satu perkembangan yang positif kepada kami,” katanya di Majlis Sukan Negara (MSN), Kuala Lumpur baru-baru ini.

Ravivarma memberitahu, temasya di Kemboja adalah yang kedua buat skuad fin swimming negara selepas penyertaan kali pertama di Hanoi tahun lalu.

Katanya, skuadnya terdiri daripada lapan atlet masing-masing empat lelaki dan wanita dengan sasaran pingat disandarkan kepada Faliq Nazrin Nazle dan Jamie Tan Guan.

“Kami ada membuat analisis serta penilaian pada temasya di Hanoi tahun lalu dan pencapaian kali ini lebih baik.

“Atlet kami khususnya Faliq Nazrin dan Jamie berpeluang membawa pulang pingat kali ini,” katanya.

Ravivarma juga optimis peralatan khas mencecah RM50,00 yang dibeli dari Eropah mampu membantu perenang untuk memberi saingan sengit kepada Vietnam dan Indonesia.

“Selain kekuatan fizikal serta pengalaman sebagai bekas perenang ditambah dengan peralatan baharu saya percaya mereka mampu membuat catatan masa yang lebih baik.

“Biarpun Vietnam dan Indonesia mendominasi pingat dalam acara ini, namun para atlet enggan cepat mengalah sebaliknya tekad memberikan yang terbaik,” katanya.

Sebagai rekod, sukan fin swimming mula dipertandingkan di Sukan SEA Vietnam 2003.

Ia kemudian dipertandingkan di Laos dan pada ketika itu, Vietnam membolot lapan emas, lapan perak dan tiga gangsa, manakala Indonesia muncul naib juara dengan meraih tiga emas, lima perak dan enam gangsa.

Sukan itu turut dipertandingkan di Indonesia 2011 dan menyaksikan Indonesia mendominasi carta keseluruhan pingat dengan tujuh emas, lapan perak dan dua gangsa, manakala Vietnam mendapat enam emas, lima perak dan enam gangsa.