PRK Sandakan: PDRM pertingkat anggota, kawalan

Mohamad Fuzi Harun
Mohamad Fuzi Harun
A
A
A

GOMBAK - Polis Diraja Malaysia (PDRM) sentiasa bersiap siaga mempertingkatkan bilangan anggotanya bagi memastikan kelancaran proses Pilihan Raya Kecil (PRK) Sandakan.

Ketua Polis Negara Tan Sri Mohamad Fuzi Harun berkata, kawalan sepanjang proses PRK ini penting kerana terdapat asas tertentu seperti isu keselamatan di selatan Filipina.

"Buat masa ini lebih 1,000 anggota ditempatkan bagi memastikan proses PRK berjalan lancar.

“Arahan khusus telah diberikan kepada Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Omar Mammah dan Ketua Polis Daerah Sandakan untuk memastikan PRK diadakan dengan aman dan selamat,” katanya selepas Program Lawatan Hospital Sempena Peringatan Hari Polis Ke-212, di Hospital Selayang, di sini hari ini.

Hadir sama, Pemangku Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Abdul Hamid Bador; Pengarah Pengurusan, Datuk Abd Rahim Jaafar; Timbalan Pengarah Kesihatan Negeri Selangor, Dr Noormi Othman dan Timbalan Pengarah (Perubatan 1) Hospital Selayang, Dr Tengku Intan Norleen Tengku Shariff.

Ketika ditanya sama ada terdapat keperluan membawa anggota dari Semenanjung, beliau berkata, pihaknya tidak bercadang tentang perkara itu kerana ia melibatkan kos yang tinggi.

Semalam, Mohamad Fuzi mendedahkan kumpulan pengganas Daesh kini menjadikan Tawau dan Sandakan di Sabah sebagai transit untuk masuk ke selatan Filipina serta Rakhine, Myanmar.

Terdahulu, Kerusi Parlimen Sandakan kosong selepas penyandangnya Datuk Stephen Wong Tien Fatt meninggal dunia dipercayai akibat serangan jantung pada 28 Mac lepas dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan Sabtu ini sebagai tarikh hari penamaan calon, manakala hari pengundian awal ditetapkan pada 7 Mei dan hari mengundi pada 11 Mei.

Artikel Berkaitan: