Kerajaan sasar lulus 10,000 permohonan warganegara

Saifuddin ketika Town Hall Rakyat anjuran Sinar Harian yang diadakan di Kumpulan Karangkraf pada Isnin. - FOTO SINAR HARIAN/ROSLI TALIB
Saifuddin ketika Town Hall Rakyat anjuran Sinar Harian yang diadakan di Kumpulan Karangkraf pada Isnin. - FOTO SINAR HARIAN/ROSLI TALIB
A
A
A

SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Kerajaan menyasarkan untuk meluluskan 10,000 permohonan untuk menjadi warganegara Malaysia.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, sehingga kini, sebanyak 6,000 permohonan telah diluluskan.

“Dalam tempoh saya menerajui Kementerian Dalam Negeri (KDN), saya bertekad untuk meluluskan sebanyak mungkin kes permohonan terutama yang menunggu sehingga 20 ke 30 tahun.

“Tanpa kompromi soal keselamatan, Insya-ALLAH kita akan uruskan permohonan ini sebaik mungkin untuk beri khabar gembira kepada mereka yang buat permohonan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam Town Hall Rakyat anjuran Sinar Harian yang diadakan di Kumpulan Karangkraf pada Isnin.

Menurut Saifuddin, berdasarkan jumlah yang diluluskan, majoritinya adalah di bawah Perkara 15(2) Perlembagaan Persekutuan iaitu anak kepada warganegara yang berumur kurang daripada 21 tahun.

“Apabila semua dokumen yang diberikan lengkap, sijil perkahwinan lengkap, mohon pun sudah lama, kita akan permudahkan. Ini supaya mereka yang mohon ini tidak menunggu terlalu lama,” ujarnya.

Menurut beliau, sehingga kini, sebanyak 133,436 permohonan telah diterima dan sedang dalam penelitian untuk meluluskannya.

“Memohon warganegara ini adalah satu perkara yang besar. Warganegara datang dengan hak. Layak dilindungi. Hak wajib dijamin oleh warganegara. Hak dari segi keselamatan, mengundi, dapat pendidikan, perkhidmatan kesihatan,” katanya.