Penjawat awam terima gaji, bantuan kewangan selewatnya 14 April

Anwar Ibrahim
Anwar Ibrahim
A
A
A

IPOH - [DIKEMAS KINI] Penjawat Awam Persekutuan akan menerima bayaran gaji selewat-lewatnya 14 April ini, diawalkan tiga hari berbanding 17 April seperti dijadualkan sebelum ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, ia akan turut membabitkan Bantuan Khas Kewangan Aidilfitri berjumlah RM700 yang diumumkan sebelum ini.

"Saya terima banyak permohonan, 17 (April) ke atas itu terlalu suntuk untuk membuat persiapan Hari Raya. Jadi kita awalkan, selewatnya 14 April kita selesaikan," katanya kepada pemberita selepas menghadiri sesi penyampaian Sumbangan Tunai Rahmah (STR) di Bank Simpanan Nasional Cawangan Meru Raya di sini pada Isnin.

Terdahulu Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) mencadangkan supaya tarikh pembayaran gaji kepada penjawat awam diawalkan kepada 14 April ini.

Presidennya, Datuk Adnan Mat berkata, ia bagi membolehkan penjawat awam membeli barangan untuk persediaan Aidilfitri yang dijangka disambut pada 22 April ini.

Anwar juga berkata, bayaran pencen untuk pesara turut diawalkan pada tarikh yang sama.

Katanya, Bantuan Khas Kewangan Aidilfitri akan memanfaatkan hampir satu juta penerima dalam kalangan pesawah, pekebun kecil getah, nelayan dan sukarelawan beruniform termasuk Jabatan Sukarelawan Malaysia, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia, Sukarelawan Bomba dan Sukarelawan Polis.

Terdahulu Anwar yang juga Ahli Parlimen Tambun turun padang melihat proses penunaian STR Fasa 2 di BSN Cawangan Meru Raya.

Beliau turut menyampaikan STR secara tunai kepada beberapa penerima.

Sebelum ini kerajaan mengumumkan pembayaran STR Fasa 2 dilaksanakan mulai 5 April 2023 bagi membantu rakyat melakukan persiapan menyambut Aidilfitri.

Ia melibatkan peruntukan sebanyak RM1.26 bilion yang memanfaatkan seramai 8.7 juta penerima daripada golongan B40.

Sementara itu, Anwar kemudian melakukan Lawatan Rahmah ke Bazar Ramadan Taman Jati di sini dan menghabiskan masa selama 30 minit di bazar itu.

Perdana Menteri diiringi Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad, Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Ahmad Suaidi Abdul Rahim serta Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri Sandrea Ng Shy Ching.

Dalam kunjungan itu Anwar beramah-mesra dengan pengunjung serta peniaga dan sempat bergambar dengan mereka, selain membeli beberapa juadah untuk berbuka puasa. - Bernama