Pertambahan bas menjelang akhir Ramadan

Anthony ketika sidang akhbar di Kementerian Pengangkutan pada Isnin.
Anthony ketika sidang akhbar di Kementerian Pengangkutan pada Isnin.
A
A
A

PUTRAJAYA - Menteri Pengangkutan, Anthony Loke memberi jaminan terdapat pertambahan jumlah perkhidmatan bas menjelang minggu terakhir Ramadan.

Beliau berkata, pertambahan tersebut melibatkan penggunaan bas bukan ekspress yang dimohon oleh pengusaha pengangkutan itu menerusi Lesen Perubahan Sementara (LPS).

“Dari segi data yang dikumpul oleh APAD (Agensi Pengangkutan Awam Darat), ada penambahan permohonan LPS, maksudnya penawaran perkhidmatan bas itu bertambah.

“Penambahan (bas) biasanya beberapa hari sebelum raya. Walaupun ada penambahan dan penawaran, permintaan masih tinggi, mungkin belum cukup untuk menampung (permintaan),” katanya pada sidang akhbar pada Isnin.

Sebelum ini Sinar Harian melaporkan, jualan tiket bas ekspres bagi kebanyakan negeri di semenanjung negara sempena balik kampung perayaan Aidilfitri terutama perjalanan ke Pantai Timur habis terjual berbanding negeri lain sejak penjualan dibuka, tiga minggu lalu.

Dalam pada itu Anthony memaklumkan, permohonan LPS masih dibuka kepada pengusaha bas sekiranya mahu menawarkan perkhidmatan berkenaan.

“Masih terbuka kepada mana-mana syarikat operasi untuk memohon (LPS), kalau mereka ada kapasiti, boleh mohon untuk menambah trip.

“Nanti kita akan kumpulkan (data pertambahan bas) dalam sehari dua dan umumkan. Yang penting permohonan masih dibuka,” ujarnya.