Aidilfitri: Ewon yakin harga tiket penerbangan KL-Sabah turun

Ewon (dua dari kanan) ketika melawat pameran selepas menghadiri program pemantapan rangkaian perniagaan sektor pemborongan dan peruncitan koperasi peringkat Sabah di Kota Kinabalu.
Ewon (dua dari kanan) ketika melawat pameran selepas menghadiri program pemantapan rangkaian perniagaan sektor pemborongan dan peruncitan koperasi peringkat Sabah di Kota Kinabalu.
A
A
A
KOTA KINABALU - Ahli Parlimen Penampang Datuk Ewon Benedick yakin manifesto Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Umum (PRU) lalu berhubung tawaran harga tiket murah untuk pelajar di Semenanjung pulang ke Sabah dan Sarawak akan dilaksanakan menerusi penurunan harga daripada syarikat penerbangan menjelang Aidilfitri.

Beliau yang juga Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi berkata, walaupun kerajaan yang ditubuhkan ini adalah Kerajaan Perpaduan menerusi gabungan daripada pelbagai parti namun manifesto yang ditawarkan daripada PH akan turut diambil tindakan oleh ahli jemaah menteri yang berkaitan.

"Di peringkat kabinet kita telahpun bersetuju supaya manifesto yang ditawarkan semua gabungan ini menjadi keutamaan untuk dilaksanakan dan seterusnya tawaran secara spesifik oleh sesebuah gabungan parti itu akan dilihat oleh kementerian berkaitan.

"Contohnya isu tiket penerbangan ini, saya percaya dan yakin kementerian pengangkutan sedang mengambil tindakan berbincang dengan syarikat-syarikat penerbangan seperti yang diumumkan adanya penambahan penerbangan dan ia sekali gus akan menurunkan harga tiket itu sendiri terutama pada musim perayaan.



"Seterusnya saya juga amat yakin menteri pengangkutan juga sedang berbincang bagaimana harga tiket ini dapat dikurangkan ketika musim perayaan terutama melibatkan siswa dan siswi," katanya kepada pemberita selepas menghadiri program pemantapan rangkaian perniagaan sektor pemborongan dan peruncitan koperasi peringkat Sabah, di sini pada Isnin.



Sinar Harian sebelum ini melaporkan Ewon sebagai calon bagi Parlimen Penampang menawarkan manifesto PH berhubung harga tiket penerbangan RM199 bagi perjalanan balik ke Sabah atau sebaliknya jika pakatan itu berjaya memerintah kerajaan.

Mengulas lanjut, beliau yang juga Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) berkata, hasil perbincangan kementerian pengangkutan juga menunjukkan hasil positif apabila harga tiket penerbangan kini ada sedikit penurunan.

"Perkara pokoknya ialah kerajaan telah bersetuju untuk menambah jumlah penerbangan sepanjang musim perayaan ini dan saya percaya sedikit sebanyak mempengaruhi penurunan harga tiket walaupun masih agak tinggi nilainya.

"Ia sebenarnya bergantung kepada jenis syarikat penerbangan dan saya lihat ada rendah sedikit bagi sebuah syarikat tambang murah berbanding sebuah lagi syarikat penerbangan lain," katanya.

Sementara itu, tinjauan Sinar Harian di laman sesawang syarikat penerbangan bagi perjalanan dari Kuala Lumpur ke Kota Kinabalu sempena perayaan Aidilfitri mendapati harga tiket penerbangan bermula antara RM700 hingga RM2,200.