Ujian teori Lesen Vokasional PSV, GDL dimansuhkan

Anthony ketika sidang akhbar di Kementerian Pengangkutan pada Isnin.
Anthony ketika sidang akhbar di Kementerian Pengangkutan pada Isnin.
A
A
A

PUTRAJAYA - [KEMAS KINI] Kerajaan mengumumkan pemansuhan ujian teori bagi Lesen Vokasional melibatkan Lesen Kenderaan Perkhidmatan Awam (PSV) dan Lesen Kenderaan Barangan (GDL) berkuat kuasa serta-merta.

Serentak itu Menteri Pengangkutan, Anthony Loke turut memaklumkan, kelas teori bagi Lesen Vokasional juga boleh dilaksanakan secara atas talian.

“Ini bermakna pemandu PSV dan GDL hanya perlu menduduki dan melengkapkan kelas teori sebelum dikeluarkan Lesen Vokasional.

“Bagi calon kategori Lesen PSV untuk bas dan GDL bagi Lori Bersendi pula, mereka masih wajib melalui latihan dan lulus ujian amali atau praktikal sebelum mendapat Lesen Vokasional,” katanya pada sidang akhbar pada Isnin.

Dalam pada itu beliau menjelaskan, pelaksanaan kelas teori bagi Lesen Vokasional akan dilaksanakan sama ada menerusi platform Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) atau syarikat perniagaan pengantaraan yang dikawal selia JPJ.

Justeru katanya, JPJ akan menetapkan syarat dan peraturan berkaitan penyediaan platform atas talian bagi memastikan kesahihan dan integriti calon dengan data kehadiran akan diintegrasi melalui sistem MySIKAP.

“Silibus kelas teori bagi Lesen Vokasional melibatkan perkhidmatan e-hailing dan teksi akan disemak serta ditambah baik oleh JPJ dan MIROS (Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia) dengan bantuan input daripada pihak industri.

“Keputusan memansuhkan ujian teori Lesen Vokasional diharap dapat menambah jumlah pemandu teksi dan e-hailing di atas jalan raya sekali gus menstabilkan harga tambang perkhidmatan itu,” ujarnya.

Sementara itu mengulas mengenai lanjutan had usia teksi dan e-hailing kepada 15 tahun pula, Anthony berkata, dasar itu terpakai bagi semua kenderaan e-hailing seluruh negara dan semua teksi di Semenanjung Malaysia merangkumi teksi biasa, teksi lapangan terbang dan teksi mewah.

“Selaras pengumuman ini, had usia melesen akan dikemas kini kepada 14 tahun bermaksud kenderaan bagi tujuan itu mesti dilesenkan sekurang-kurangnya setahun sebelum had usia 15 tahun.

"Penggunaan teksi dan e-hailing tertakluk kepada kelulusan pemeriksaan berkala untuk memastikan hanya kenderaan yang mematuhi syarat-syarat teknikal dan ciri-ciri keselamatan dilesenkan untuk beroperasi di atas jalan raya," katanya.

Sebelum ini, Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) memutuskan had usia penggunaan kenderaan bagi teksi dan e-hailing dinaikkan sehingga 15 tahun bermula 1 Januari 2023.