Cheng Hoe waspada muslihat Kelantan FC

Cheng Hoe - FOTO: FACEBOOK SELANGOR FC
Cheng Hoe - FOTO: FACEBOOK SELANGOR FC
A
A
A

TAN Cheng Hoe memberi amaran kepada Selangor FC supaya tidak mengambil mudah cabaran Kelantan FC yang akan dihadapi The Red Giants dalam aksi Liga Super pada Ahad.

Malah tanpa berselindung pengendali Selangor itu menyatakan kedudukan liga semasa The Red Warriors (TRW) sesuatu yang perlu diberikan perhatian skuadnya apabila jagoan pantai timur berkenaan.

“Ya, saya tidak nafikan prestasi Kelantan dalam keadaan terumbang-ambing tambahan pula dengan perkembangan terkini yang melanda pasukan itu.

“Biarpun begitu keputusan dilakar Kelantan dalam tujuh perlawanan kecuali kekalahan kepada Terengganu, tidaklah begitu teruk membuktikan mereka memiliki pemain berkualiti.

“Saya juga percaya Rezal Zambery Yahya yang mengambil alih pasukan daripada Choi Moon-sik, seorang jurulatih yang cukup berpengalaman dan lebih mengetahui kekuatan pasukannya.

“Malah sebelum ini Rezal Zambery pernah mengemudi Kelantan semasa berada di Liga Premier musim lalu,” katanya kepada Sukan Sinar pada Sabtu.

Selangor yang berada di tangga ketiga liga akan melayan kunjungan Kelantan dalam perlawanan liga kelapan masing-masing di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) pada Ahad.

Kelab dari pantai timur itu bergelut dalam aksi domestik musim ini hanya satu mata di atas pasukan tangga ke-14 Kelantan United di kedudukan ke-14 liga.

Tambah Cheng Hoe lagi, dia juga menjangkakan perlawanan tersebut berlangsung sengit dalam misi kedua-dua pasukan memperbaiki kedudukan dalam liga.

“Saya percaya semua lawan dalam Liga Super, merupakan pasukan yang kuat pada musim ini.

“Kelantan yang tewas besar kepada Terengganu FC minggu lalu sudah tentu tidak mahu situasi sama berlaku apabila menentang Selangor

“Jadi Selangor perlu bermain bola sepak pada prestasi terbaik jika mahu meraih kemenangan dan itulah perlu dilakukan berdepan Kelantan,” katanya.