RM3 juta semarak ihya Ramadan MBI

Seramai 32 OKU penglihatan mengambil bahagian dalam program Khatam al-Quran 2.0 di Kompleks Karangkraf pada Jumaat.
Seramai 32 OKU penglihatan mengambil bahagian dalam program Khatam al-Quran 2.0 di Kompleks Karangkraf pada Jumaat.
A
A
A

SHAH ALAM - Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI memperuntukkan sejumlah RM3 juta bagi meneruskan program ihya Ramadan tahun ini.

Ketua Tanggungjawab Sosial Korporat MBI, Ahmad Azri Zainal Nor berkata, peruntukan berkenaan merangkumi sumbangan kepada masjid dan surau, bantuan wang tunai kepada golongan asnaf serta penganjuran program berbuka puasa bersama penduduk setempat.

“Selain itu, MBI juga menyumbangkan RM10,000 bagi program Khatam Al-Quran 2.0 yang melibatkan peserta daripada golongan orang kurang upaya (OKU) penglihatan mengalunkan bacaan ayat suci al-Quran bersama mashaf braille masing-masing.

“Inisiatif ini selari dengan objektif MBI yang mensasarkan pembangunan ummah sebagai antara tunggak tanggungjawab sosial korporat (CSI) kami,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Khatam al-Quran 2.0 di Kompleks Karangkraf pada Jumaat.

Ahmad Azri
Ahmad Azri

Turut hadir ialah Penasihat bersama Kumpulan Karangkraf, Datuk Muhammad Nasir Hamzah; Ketua Pegawai Eksekutif Sinar Karangkraf, Farah Hussamuddin; Ketua Pengarang Sinar Harian, Zamri Rambli; Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Maghfirah, Muhamad Shuib Norudin dan Naib Yang Dipertua Persatuan Orang-Orang Cacat Penglihatan Islam Malaysia (Pertis), Jasmadin Budin.

Majlis kali kedua dianjurkan oleh Sinar Islam Plus itu melibatkan 32 orang OKU penglihatan membaca surah-surah pilihan daripada 30 juzuk kitab suci berkenaan.

Program yang bertemakan ‘Tinta Emas Mencipta Generasi Taqaddum’ itu turut mendapat sokongan MBI Selangor selaku rakan strategik.

Dalam pada itu, Ahmad Azri menyambut baik program yang dianjurkan dan turut melahirkan rasa kagum dengan kesungguhan peserta dari Pertis, Yayasan Maghfirah, Gurney Training Centre dan Universiti Sains Islam Malaysia (USIM).

“Ini kali pertama pihak MBI Selangor menaja program seumpama ini dan melihat ia sebagai satu majlis kerohanian yang perlu diteruskan pada masa akan datang.

“Untuk pengetahuan, kami juga ada mengadakan program hampir sama seperti ini iaitu ’30 Hari 30 Ayat’ yang disiarkan di laman sosial MBI Selangor,” katanya.