Veteran ATM terima bantuan khas Aidilfitri 17 April ini

Lebih 200,000 veteran ATM termasuk yang tidak berpencen akan menerima BKKA sebanyak RM350 setiap seorang. - Foto hiasan/123RF
Lebih 200,000 veteran ATM termasuk yang tidak berpencen akan menerima BKKA sebanyak RM350 setiap seorang. - Foto hiasan/123RF
A
A
A

ALOR GAJAH - Lebih 200,000 veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) termasuk yang tidak berpencen akan menerima Bantuan Khas Kewangan Aidilfitri (BKKA) sebanyak RM350 setiap seorang pada 17 April ini.

Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari berkata, pembayaran berkenaan membuktikan keprihatinan Kerajaan Perpaduan kepada golongan veteran khususnya mereka yang tidak berpencen agar dapat mengurangkan beban kewangan membuat persiapan sempena Aidilfitri.

"Kita mempunyai veteran tidak berpencen sekitar 79,000 orang manakala mereka yang berpencen lebih 100,00 orang dan kesemua mereka akan mendapat manfaat ini yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Belanjawan 2023 Februari lepas," katanya kepada pemberita di Freeport A'Famosa Outlet di sini pada Sabtu.

Beliau berkata demikian selepas Program Memasak dan Pengagihan Bubur Lambuk dengan Kerjasama Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Alor Gajah melibatkan 1,500 bekas bubur.

Mengulas lanjut, Adly yang juga Ahli Parlimen Alor Gajah berkata, kerajaan menerusi Kementerian Pertahanan turut meraikan anggota tentera yang bertugas di luar negara seperti di Lebanon sempena Hari Raya akan datang.

Beliau berkata, pelbagai sumbangan dan keperluan menyambut hari raya akan disalurkan kepada golongan berkenaan yang terlibat dalam misi keamanan di luar negara.

"Ada sebahagian kepimpinan Kementerian Pertahanan akan menyambut Aidilfitri bersama dengan mereka yang tidak dapat pulang beraya kerana tugas menjaga keamanan antaranya pasukan Malbatt (Malaysian Battalion) di Lebanon," katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, kawalan keselamatan dan rondaan di sempadan negara termasuk laluan tikus dan lokasi panas terus dipertingkatkan bagi mengekang kemasukan warga asing atau sebarang aktiviti penyeludupan menjelang Hari Raya. - Bernama