Kelantan jangka putuskan isu tukar rumput sebelum Aidilfitri

Laporan Sinar Harian pada 30 Mac lalu.
Laporan Sinar Harian pada 30 Mac lalu.
A
A
A

KOTA BHARU - Perbadanan Stadium Negeri Kelantan (PSNK) dijangka membuat keputusan tawaran Kementerian Belia dan Sukan (KBS) untuk penukaran rumput jenis Zeon Zoysia sebelum Hari Raya Aidilfitri.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) negeri, Wan Roslan Wan Hamat memberitahu, buat masa ini PSNK masih belum membincangkan perkara berkenaan.

"Bagaimanapun kita sudah meminta PSNK membuat kajian berkaitan keburukan penggunaan rumput jenis itu.

"Kita juga perlu mengkaji kos penggunaan rumput Zeon Zoysia dan perolehan kajian akan dibentangkan dalam mesyuarat lembaga pengarah terlebih dahulu," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Program Anak Muda Bersama Ustaz Azhar Idrus (UAI) di Madinah Ramadan Perkarangan Stadium Sultan Muhammad IV di sini pada Jumaat.

Beliau turut menjangkakan keputusan dapat dicapai dalam masa terdekat.

Orang ramai memenuhi dewan pada Program Anak Muda Bersama Ustaz Azhar Idrus (UAI) di Madinah Ramadan Perkarangan Stadium Sultan Muhammad IV pada Jumaat.
Orang ramai memenuhi dewan pada Program Anak Muda Bersama Ustaz Azhar Idrus (UAI) di Madinah Ramadan Perkarangan Stadium Sultan Muhammad IV pada Jumaat.

Wan Roslan memberitahu, PSNK dianggap sebagai badan yang paling relevan untuk membuat keputusan.

"Bagaimanapun kerajaan negeri menyambut baik tawaran Kementerian Belia dan Sukan itu," katanya.

KBS sebelum ini menawarkan dana geran padanan kepada semua Exco belia dan sukan negeri bagi menaik taraf padang stadium bola sepak dengan penanaman rumput jenis Zeon Zoysia, yang turut digunakan di Stadium Sultan Ismail, Johor Bahru.

KBS menawarkan peruntukkan untuk menukar rumput Zeon Zoysia di setiap stadium negeri.

Bagaimanapun, ada beberapa negeri dan kelab yang tidak bersetuju untuk menukar rumput kerana risau berdepan kos penyelenggaraan yang tinggi.

Sejak tawaran terbabit dibuka, Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh mengesahkan KBS hanya menerima dua surat permohonan iaitu daripada kerajaan negeri Kedah dan Perak untuk peruntukan menaik taraf padang bola sepak mereka dengan penanaman rumput jenis Zeon Zoysia.