Beberapa kawasan di Mantin, Nilai terjejas akibat ribut

Banyak khemah di Bazar Ramadan di Nilai rosak dipukul ribut. - Foto Facebook Kami Penduduk Nilai
Banyak khemah di Bazar Ramadan di Nilai rosak dipukul ribut. - Foto Facebook Kami Penduduk Nilai
A
A
A

SEREMBAN - Beberapa kawasan dan peniaga bazar Ramadan di sekitar Mantin, Nilai dekat sini terjejas teruk akibat hujan lebat dan ribut yang melanda, petang Jumaat.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Mantin, Priscilla Carol Thomas berkata, antara kawasan terlibat adalah Kampung Che Lah, Klinik Kesihatan Mantin, Desa Pinggiran Bayu, Kolej Legenda, Jalan Mantin ke Sungai Machang dan Jalan Mantin ke Beranang.

Katanya, pihak bomba menerima banyak panggilan kecemasan daripada orang awam sekitar jam 3 petang hingga 5.30 petang Jumaat akibat kejadian ribut tersebut.

"Sejurus menerima panggilan, anggota bomba terus ke lokasi terlibat dan meneruskan kerja-kerja mengalihkan pokok-pokok tumbang di beberapa kawasan terjejas termasuk di kawasan perumahan,” katanya ketika dihubungi Bernama di sini pada Jumaat.

Beliau berkata, beberapa peniaga bazar Ramadan juga terkesan akibat ribut yang melanda di sekitar kawasan Masjid Qariah Pekan Mantin dan pihak Tenaga Nasional Berhad (TNB) turut membantu memutuskan bekalan elektrik serta mengalihkan tiang elektrik tiang yang tumbang akibat ribut.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nilai, J. Arul Kumar berkata, hujan lebat dan ribut petang tadi turut menyebabkan banyak pokok tumbang di Taman Desa Melati Nilai dan banyak khemah Bazar Ramadan telak rosak di Nilai dan Mantin.

"Terdapat beberapa pokok tumbang dan terkena rumah. Pembersihan sedang dilaksanakan oleh Majlis Bandaraya Seremban, TNB dan bomba,” katanya yang turut meminta MBS memotong keseluruhan pokok besar yang berada berdekatan kawasan perumahan bagi mengelakkan insiden sama berulang. - Bernama