Agong berangkat ke majlis sambutan Nuzul al- Quran

Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah berkenan menyampaikan sumbangan kepada golongan asnaf pada Majlis Sambutan Nuzul Al-Quran Kerajaan Negeri Pulau Pinang di Masjid Negeri pada Jumaat. - Foto Bernama
Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah berkenan menyampaikan sumbangan kepada golongan asnaf pada Majlis Sambutan Nuzul Al-Quran Kerajaan Negeri Pulau Pinang di Masjid Negeri pada Jumaat. - Foto Bernama
A
A
A

GEORGETOWN - Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan berangkat ke Majlis Sambutan Nuzul al-Quran bersama kepimpinan kerajaan negeri di Masjid Negeri Pulau Pinang di sini pada Jumaat.

Seri Paduka, yang diiringi Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah, anakanda Tengku Arif Bendahara Tengku Muhammad Iskandar Ri'ayatuddin Shah, Tengku Puteri Raja Tengku Puteri Afzan Aminah Hafidzatullah dan Tengku Puteri Jihan Azizah 'Athiyatullah, tiba di masjid itu pada jam 6.10 petang.

Keberangkatan tiba Seri Paduka berdua disambut oleh Yang di-Pertua Negeri Pulau Pinang Tun Ahmad Fuzi Abdul Razak dan isteri, Toh Puan Khadijah Mohd Nor serta Timbalan Ketua Menteri I, Datuk Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman dan isteri, Datin Mohaini Mohd Safar.

Majlis dimulakan dengan bacaan doa oleh Mufti kerajaan negeri Pulau Pinang, Datuk Seri Dr Wan Salim Wan Mohd Noor disusuli ucapan sembah menjunjung kasih oleh Timbalan Ketua Menteri I Datuk Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman.

Seri Paduka berdua turut berkenan menyantuni dan mengurniakan sumbangan kepada 50 asnaf sebelum menerima cendera kenangan pada majlis itu.

Majlis diteruskan dengan Tazkirah Nuzul Al-Quran bertajuk ‘Al-Quran, Rahmat Untuk Umat’ oleh Ahli Majlis Jawatankuasa Fatwa Negeri Pulau Pinang Datuk Rosli Othman.

Selepas itu, Seri Paduka berdua berkenan berbuka puasa dan menunaikan solat fardu Maghrib secara berjemaah. - Bernama