Najib guna penghakiman menentang mohon pengampunan diraja

Najib Tun Razak
Najib Tun Razak
A
A
A

KUALA LUMPUR - Datuk Seri Najib Tun Razak akan menggunakan penghakiman menentang oleh Hakim Besar Sabah dan Sarawak, Datuk Abdul Rahman Sebli dalam permohonan petisyen pengampunan Dirajanya kepada Yang di-Pertuan Agong.

Peguamnya, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah yang mewakili bekas Perdana Menteri itu berkata, pasukan pembelaan akan menggunakan penghakiman menentang oleh hakim itu dengan menyatakan anak guamnya tidak diberi perbicaraan yang adil.

Malah beliau berkata, rayuan bekas Ahli Parlimen Pekan itu juga tidak didengar di Mahkamah Persekutuan pada 23 Ogos tahun lalu.

Sebaliknya beliau berkata, hanya sebelah pihak menyampaikan hujahan iaitu pihak pendakwaan selaku responden.

“Permohonan (petisyen pengampunan) ini sama seperti apa yang Hakim Abdul Rahman nyatakan dalam penghakimannya.

“Kami akan hantar penghakiman ini kepada Agong, termasuk keputusan penghakiman majoriti untuk perbandingan," katanya, selepas prosiding sebutan kes pecah amanah dihadapi Najib dan bekas Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Tan Sri Mohd Irwan Serigar Abdullah di Mahkamah Tinggi di sini pada Isnin.

Dalam penghakiman menentang, peguam itu berkata, Abdul Rahman bersetuju dengan kedudukan pembelaan maka Agong digalakkan untuk menelitinya, kerana terdapat aspek lain untuk dipertimbangkan.

Jumaat lalu, Najib tidak dibenarkan untuk menyemak keputusan Mahkamah Persekutuan sebelum ini yang mengekalkan sabitan, hukuman dan denda terhadapnya berhubung kes menyeleweng dana SRC International Sdn Bhd.

Berbekalkan majoriti 4-1, empat panel hakim menyokong untuk menolak rayuan Najib kerana tidak bermerit.

Mereka ialah Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Vernon Ong Lam Kiat, Datuk Rhodzariah Bujang dan Datuk Nordin Hassan termasuk Hakim Mahkamah Rayuan Datuk Abu Bakar Jais.

Empat panel hakim ini berkata, keengganan peguam, Datuk Hisyam Teh Poh Teik membuat penghujahan lisan semasa prosiding rayuan tahun lalu, mengundang kepada kegagalan rayuan akhirnya.

Ini bermakna bekas Ahli Parlimen Pekan ini kekal dihukum di Penjara Kajang dan pilihan terakhirnya untuk dibebaskan ialah menerusi pengampunan diraja daripada Agong.

Dilaporkan, Najib sudah memfailkan petisyen untuk mendapatkan pengampunan pada 2 September 2022.

Sementara pengerusi panel hakim, Hakim Besar Sabah dan Sarawak, Datuk Abdul Rahman Sebli merupakan satu-satunya hakim yang menentang keputusan majoriti panel hakim, kerana berpandangan sebaliknya.

Ketika membaca keputusan penghakimannya, Abdul Rahman berkata, peluang yang Najib ada ialah melihat peguamnya berjuang untuk kepentingan dirinya, namun ia tidak berlaku ketika pendengaran rayuannya dibuat di Mahkamah Persekutuan tahun lalu.

Menurutnya, Hisyam tidak mengemukakan rayuan selepas memaklumkan kepada panel hakim bahawa beliau tidak bersedia.

Dalam prosiding ini, Timbalan Pendakwa Raya, Datuk V Sithambaram berada di pihak pendakwaan manakala bekas Presiden UMNO selaku pemohon diwakili Muhammad Shafee.

Pada 22 Julai 2020, Mahkamah Tinggi di sini mendapati Najib bersalah terhadap tujuh tuduhan pecah amanah, menyalahgunakan kedudukan dan pengubahan wang haram dana SRC.

Najib yang kini berusia 70 tahun, sedang menjalani hukuman penjara 12 tahun di Penjara Kajang selepas gagal dalam rayuan terakhirnya di Mahkamah Persekutuan untuk mengetepikan sabitan, hukuman dan denda pada 23 Ogos tahun lalu.

Najib masih berdepan tiga lagi kes mahkamah termasuk penyelewengan RM2.3 bilion dana 1MDB yang kini di peringkat perbicaraan dengan pendakwaan telah memanggil seramai 44 saksi.

Dua lagi kes ialah pecah amanah jenayah berjumlah RM6.6 bilion berhubung pembayaran kepada International Petroleum Investment Company (IPIC) dan pengubahan wang haram membabitkan dana SRC International sebanyak RM27 juta, yang masing-masing masih di peringkat pengurusan kes.