Arab Saudi intai khidmat Mourinho

Mourinho. - Foto EPA
Mourinho. - Foto EPA
A
A
A

ARAB Saudi dilaporkan berminat untuk mendapatkan khidmat Jose Mourinho dengan tawaran lebih daripada 100 juta pound (RM547 juta) untuk kontrak selama dua tahun.

Andai ia menjadi realiti, pengendali berusia 60 tahun itu bakal menjadi sebagai pengurus yang menerima bayaran termahal.

Laporan turut menyebut kelab yang disertai Cristiano Ronaldo, Al-Nassr juga berminat dengan Mourinho ketika pengendali skuad itu, Rudi Garcia dilaporkan mahu meninggalkan pasukan pada akhir musim ini.

Pengendali dari Portugal itu menyertai kelab terbaik Serie A, Roma pada 2021 dan kontraknya masih berbaki sehingga 2024.

Bagimanapun nasib Mourinho mencetuskan tanda tanya kerana terdapat pertikaian mengenai pemindahan dan kekecewaan berhubung prestasi Roma pada musim ini.

Roma ketika ini berada di kedudukan kelima carta dengan 50 mata ketinggalan 21 mata berbanding pendahulu Napoli.

Biarpun masa depannya masih terbuka bersama kelab Itali itu, namun Mourinho ketika ini dilaporkan dirisik oleh pengurusan utama bagi mengendalikan pasukan kebangsaan Arab Saudi.

Menurut laporan media, kontrak itu termasuk nilai 52 juta pound (RM284 juta) setiap tahun dengan dua pilihan buat Mourinho.

Dia mungkin boleh menamatkan kontrak pada hujung musim pertama atau melanjutkannya sehingga 2026 - tahun untuk saingan Piala Dunia di Amerika Utara.

Dalam satu laporan lain, Mourinho mungkin mengikut jejak Ronaldo yang menunjukkan prestasi menakjubkan sejak berpindah ke Liga Pro Saudi Januari lalu.

Kapten Portugal tersebut pernah berada dalam satu 'kapal' bersama rakan senegaranya itu di Bernabeu selama tiga musim antara tahun 2010 dan 2013.

Mereka pernah merangkul gelaran La Liga dan Copa del Rey.