Juventus dihukum selepas hina Lukaku

Aksi Lukaku (tengah) yang meraikan jaringannya sehingga dilayangkan kad kuning kedua.
Aksi Lukaku (tengah) yang meraikan jaringannya sehingga dilayangkan kad kuning kedua.
A
A
A

JUVENTUS diarah menutup sebahagian daripada tempat duduk penyokong selepas mereka dijatuhi hukuman gara-gara tindakan penyokong kelab itu menghina penyerang Inter Milan, Romelu Lukaku.

Lukaku menjadi sasaran ejekan penyokong lawan sebelum dan selepas menyumbat sepakan penalti pada minit kelima masa tambahan untuk membolehkan Inter seri 1-1 dalam pertembungan separuh akhir pertama Piala Itali pada Rabu.

Ketika meraikan jaringan itu, pemain Belgium tersebut mengutip kad kuning kedua kerana meletakkan jari di bibirnya sebagai isyarat menutup mulut penyokong di Stadium Allianz.

Serie A pada awal pagi Jumaat mengumumkan bahawa Juventus harus menutup sebahagian tempat duduk di bahagian untuk perlawanan bertemu Napoli, dua minggu lagi.

Hakim yang mengendalikan kes itu menyatakan bahawa majoriti daripada 5,034 penonton bersalah kerana menghina Lukaku secara ejekan berbaur perkauman.

Lukaku masih akan menjalani penggantungan satu perlawanan dalam aksi timbal balik dengan Juventus pada 26 April depan kerana dibuang padang hingga mengundang protes panjang.

Penjaga gol Inter, Samir Handanovic dan pemain tengah Juventus, Juan Cuadrado turut diarahkan keluar padang kerana terlibat dalam pertelingkahan itu dan masing-masing akan menjalani penggantungan satu dan tiga perlawanan.