Masjid Sultan Idris Shah II lokasi utama World #QuranHour di Perak

Masjid Sultan Idris Shah II yang juga Masjid Negeri Perak akan menjadi lokasi utama program World #QuranHour peringkat negeri dijadual berlangsung pada 13 April depan. Gambar kecil: Abd Farid
Masjid Sultan Idris Shah II yang juga Masjid Negeri Perak akan menjadi lokasi utama program World #QuranHour peringkat negeri dijadual berlangsung pada 13 April depan. Gambar kecil: Abd Farid
A
A
A

IPOH - Masjid Sultan Idris Shah II yang juga Masjid Negeri Perak akan menjadi lokasi utama program World #QuranHour peringkat negeri dijadual berlangsung pada 13 April depan.

Imam Besar Masjid Negeri Perak, Abd Farid Salleh berkata, pihaknya merakamkan penghargaan kepada Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUIF) dan Rumah Ngaji Negeri Perak apabila memilih masjid berkenaan sebagai lokasi utama program tahun ini.

Menurutnya, ini merupakan kali ketiga Masjid Sultan Idris Shah II menjadi lokasi utama bagi program tersebut sejak ia mula diperkenalkan.

"Kami sangat berbesar hati kerana memilih masjid menjadi lokasi utama. Sebagai sebuah institusi utama rumah ibadah umat Islam, masjid bukan sahaja sebagai pusat ibadah tetapi sebagai pusat perkembangan ilmu.

"Program World #QuranHour ini merupakan satu kempen berimpak tinggi dianjurkan oleh WUIF bermula tahun 2015. Program ini besar faedahnya dalam memberi manfaat kepada ummah," katanya kepada Sinar Harian.

Beliau berkata, program World #QuranHour berupaya membangunkan legasi ummah yang melahirkan generasi al-Quran secara berterusan dari generasi sekarang hingga generasi akan datang.

Sementara itu, Abd Farid berkata, setiap tahun khususnya di negeri Perak Jabatan Agama Islam Perak dengan kerjasama Rumah Ngaji menyarankan semua masjid di negeri ini terlibat dalam program berkenaan.

Katanya, pada tahun ini dijangka sebanyak 681 masjid di seluruh daerah di negeri ini akan bersama-sama melaksanakan program World #QuranHour minggu depan.

Sebelum ini, Penasihat Rumah Ngaji Perak, Datuk Normah Hanum Ibrahim menjelaskan selain Masjid Negeri Perak terdapat dua lagi lokasi utama bagi penganjuran World #QuranHour di negeri ini iaitu di Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Perak dan Masjid Al-Mursyidin, Universiti Sultan Idris Shah, Tanjung Malim.

Selain itu, sebanyak 118 Rumah Ngaji di Perak akan turut menyertai program berkenaan serentak pada 13 April depan bermula jam 12 tengah hari.