Dakwaan jual beli organ perlu dianggap amat serius - KKM

Dr Noor Hisham - Foto Bernama
Dr Noor Hisham - Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) tidak menyokong mana-mana pihak yang terlibat di dalam aktiviti perolehan organ secara haram dan tidak beretika.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, dakwaan mengenai kewujudan aktiviti jual beli organ di negara ini perlu dianggap amat serius oleh semua pihak.

"Ini kerana ia merupakan eksploitasi terhadap golongan tertentu dan bercanggah dengan etika perubatan," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Menurutnya, jika terdapat aktiviti melibatkan pemerdagangan manusia untuk tujuan jual beli organ, ia perlu disiasat di bawah Akta Anti-pemerdagangan Orang dan Anti-penyeludupan Migran 2007.

"KKM akan memberikan kerjasama penuh kepada pihak berkuasa siasatan sekiranya diperlukan," katanya.

Beliau berkata, perkhidmatan pendermaan organ dan transplantasi melibatkan penderma hidup ataupun selepas kematian (kadaverik) serta penerima organ iaitu pesakit yang mempunyai masalah kegagalan organ sama ada buah pinggang, hepar, jantung ataupun paru-paru.

"Dasar KKM ini jelas sebagaimana dalam Akta Tisu Manusia 1974 yang mengawal selia aktiviti pengambilan organ bagi tujuan perawatan daripada penderma kadaverik," ujarnya.

Dr Noor Hisham berkata, bagi memperketat lagi tadbir urus perkhidmatan transplantasi di negara ini, kementerian telah menubuhkan jawatankuasa transplantasi yang mengawal selia program pendermaan organ dalam kalangan penderma semasa hidup melibatkan pasangan bakal penderma penerima yang tidak mempunyai perkaitan kekeluargaan ataupun melibatkan pasangan bakal penderma-penerima bukan warganegara.

Tambah beliau, jawatankuasa itu akan menilai dengan teliti pelbagai aspek termasuk latar belakang masalah perubatan, kesihatan mental dan juga tahap sosioekonomi untuk semua permohonan pembedahan transplantasi bagi memastikan bakal penderma mempunyai sistem sokongan yang baik,

serta kesejahteraan bakal penderma secara amnya tidak terjejas selepas pembedahan dilakukan.

"Pembentukan tadbir urus perkhidmatan yang kemas adalah sangat penting bagi melindungi hak bakal penderma dan memastikan pendermaan organ tidak melibatkan sebarang paksaan ataupun mempunyai unsur pemerdagangan," katanya.

Beliau berkata, dalam usaha meningkatkan kesedaran masyarakat tentang pendermaan organ dan transplantasi, kementerian akan terus bekerjasama dengan badan-badan dan organisasi berkaitan bagi meningkatkan kesedaran awam serta pendidikan ke arah pendermaan organ yang beretika.

"KKM menyeru kepada seluruh rakyat Malaysia agar sentiasa cakna dan berikrar sebagai penderma organ seterusnya memaklumkan hasrat sebagai pengikrar kepada ahli keluarga bagi menjayakan perkhidmatan transplantasi yang beretika di negara ini," katanya.

Isnin lalu, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal (PN - Machang) menerusi sidang akhbar di lobi Parlimen berkata, ada yang menjual buah pinggang bagi meneruskan kelangsungan hidup berikutan pengeluaran bersasar Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) tidak dibenarkan kerajaan.

"Kalau tidak dapat beri keizinan untuk pengeluaran bersasar, apakah cadangan lanjut daripada kerajaan untuk membantu kerajaan untuk bantu rakyat yang susah, yang resah?

“Bahkan, sampai ada yang jual buah pinggang, yang datang berjalan dari Johor ke Istana Negara pada hari in (Isnin).

“Ini bukan perkara main-main, perkara besar yang melibatkan kepentingan umum," katanya.