200 asnaf terima juadah berbuka puasa

Antara golongan memerlukan menerima bantuan juadah berbuka puasa melalui Program Dana Prihatin Ramadan 1444H.
Antara golongan memerlukan menerima bantuan juadah berbuka puasa melalui Program Dana Prihatin Ramadan 1444H.
A
A
A

SHAH ALAM - Seramai 200 golongan asnaf yang terdiri daripada warga emas, ibu tunggal dan orang kurang upaya (OKU) di sekitar Selangor menerima bantuan juadah berbuka puasa menerusi Program Dana Prihatin Ramadan 1444H.

Ketua Pegawai Operasi Chicken Rice Guys, Juhan Faiz Fauzi berkata, program itu dijalankan dengan kerjasama strategik bersama Yayasan Al-Ahmadi dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Katanya, pihaknya memperuntukkan lebih RM1,600 sehari untuk sediakan juadah berbuka puasa secara percuma.

“Sebanyak 200 bungkus juadah berbuka puasa akan diagihkan kepada golongan yang memerlukan setiap hari sehingga 10 April 2023. Insya-ALLAH, usaha ini akan diteruskan sekiranya terdapat dana daripada orang ramai.

“Data penerima program ini diperoleh daripada senarai JKM. Ini bagi memastikan rezeki yang dikongsikan itu sampai kepada pihak yang betul-betul layak,” jelasnya kepada Sinar Harian pada Rabu.

Juhan Faiz Fauzi
Juhan Faiz Fauzi

Tambah Juhan Faiz, pihaknya akan turun padang di kawasan yang berbeza setiap hari bagi memastikan sumbangan itu dapat diagihkan secara menyeluruh.

“Diharapkan dengan bantuan ini dapat meringankan beban mereka. Tidak dinafikan sudah banyak pihak memberi makanan percuma, kami mahu jadi sebahagian daripada mereka apatah lagi pada bulan Ramadan,” jelasnya.

Ditanya perancangan pada tahun hadapan, beliau memberitahu, semoga lebih ramai yang tampil untuk menghulurkan sumbangan ikhlas.

No Image Caption

“Selain itu, saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada penyumbang yang telah memberi sumbangan bagi menjayakan program ini,” ujarnya.

Orang ramai yang berminat untuk menyumbang boleh hubungi di talian 019-5721127 atau salurkan sumbangan kepada akaun Maybank Islamic Yayasan Al-Ahmadi (562263583607).