Aston Villa anjur iftar di Villa Park
KELAB berpengaruh Liga Perdana Inggeris (EPL), Aston Villa buat kali pertama menganjurkan majlis iftar di Stadium Villa Park pada Rabu.
Beratus-ratus orang berkumpul di Villa Park, Birmingham untuk menghadiri acara yang diadakan dengan kerjasama Yayasan Aston Villa dan Projek Khemah Ramadan.
Sebelum berbuka puasa, azan turut dilaungkan melalui sistem PA Villa Park.
Pengasas Projek Khemah Ramadan, Omar Salha berkata, projek itu telah menghubungkan lebih setengah juta orang daripada semua latar belakang melalui Festival Ramadan tahunan dan inisiatif perdana Open Iftar sejak sedekad lalu.
“Daripada taman awam dan dataran, ke mercu tanda yang paling digemari, budaya dan ikonik di Britain, galeri, muzium, tempat ibadat dan stadium sukan, Ramadan terbuka kepada semua dan kami amat berbesar hati untuk menjadi tuan rumah kepada komuniti masyarakat,” katanya.
Sebagai rekod, Aston Villa menjadi kelab keempat yang menganjurkan acara itu tahun ini selepas kelab mewah Chelsea diikuti Brighton & Hove Albion dan Queens Park Rangers.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Aston Villa, Christian Purslow berterima kasih kepada kepada masyarakat Islam sekitar Villa Park yang menjayakan program pertama kali anjuran kelab tersebut.
“Kami berbesar hati untuk membuka pintu kami dan membolehkan anda berbuka puasa di Kelab Bola Sepak Aston Villa,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!