Syamsul tetap saman Farid Kamil

Syamsul Yusof (kiri), Farid Kamil
Syamsul Yusof (kiri), Farid Kamil
A
A
A

GOMBAK - Biarpun telah menzahirkan simpati terhadap rakan artis yang ditimpa masalah rumah tangga, namun pengarah filem 'Mat Kilau', Syamsul Yusof kekal dengan keputusannya untuk meneruskan saman terhadap pelakon Lagenda Budak Setan, Farid Kamil.

Syamsul atau nama sebenarnya Mohd Shamsul Md Yusof berkata, tidak timbul isu menang mahupun kalah kerana tindakan undang-undang merupakan perkara yang patut diambil.

Pengarah berusia 39 tahun ini berkata, sikap saling membalas kenyataan pihak yang mengutuknya di media sosial, tidak lebih kepada sikap kebudak-budakan.

"Kita doa pada rakan artis yang mengalami nasib yang sama (masalah rumah tangga), tapi kalau sentuh isu saman, saya tetap saman, ia akan diteruskan.

"Apabila kita berdiam diri, buat kerja sendiri tapi tiba-tiba ada orang ganggu, mengata yang buruk, jadi kita perlu ambil tindakan," katanya selepas prosiding sebutan kes nusyuz terhadap isteri pertamanya, Puteri Sarah Liyana Megat Kamaruddin di Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur di sini pada Khamis.

Sedangkan Syamsul berkata, dia merupakan seorang yang mencari keamanan dan tidak suka timbul isu dengan rakan artis terutama dalam bidang sama.

Pada 21 Mac lalu, Syamsul mendedahkan mahu mengambil tindakan undang-undang terhadap bintang filem Anwar: The Untold Story.

Ia berhubung kenyataan suami kepada pelakon, Diana Danielle itu yang dimuat naik dalam laman sosial, mendakwa seorang lelaki yang memukul wanita bernama Diana, namun tiada sebarang tindakan diambil.