Terap ilmu keusahawanan

PKNS
PKNS
A
A
A

SHAH ALAM – Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) sentiasa komited menerapkan ilmu keusahawanan dalam kalangan usahawan muda dan Bumiputera sebagai usaha memperkukuh reputasi mereka dalam bidang tersebut.

Ketua Pegawai Korporat PKNS, Siti Zubaidah Abd Jabar berkata, antara insiatif yang terus digerakkan perbadanan itu dalam membantu kumpulan usahawan itu ialah menerusi program Graduate Realizing Opportunities Way Forward (Grow) dan Sub Kontraktor Bumiputera (SKB).

“PKNS komited dalam usaha melahirkan masyarakat usahawan menerusi pelbagai program yang telah disusun untuk mereka sejak 2006 lagi.

“Ini termasuk program Grow yang membimbing usahawan muda yang berpotensi untuk meneroka peluang perniagaan melalui pembelajaran dan pengalaman berniaga serta SKB yang memberi peluang kontraktor tempatan menyertai kursus atau latihan berkaitan pembinaan,” katanya di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Graduasi Grow dan Pentauliahan SKB yang dirasmikan Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pembangunan Usahawan, Pembangunan Luar Bandar, Desa dan Kampung Tradisi Selangor Rodziah Ismail.

Siti Zubaidah berkata, menerusi program Grow sebanyak 303 syarikat telah berjaya diwujudkan sepanjang tempoh 2006 sehingga kini dengan hasil jualan keseluruhan mencecah RM19.1 juta.

“...dan 27 orang usahawan program Grow pada tahun ini pula telah mencatatkan rekod jualan keseluruhan sebanyak RM1.81 juta dalam tempoh enam bulan bermula April lepas,” katanya.

Bagi program SKB pula, Siti Zubaidah berkata, PKNS turut memberi pengiktirafan kepada syarikat kontraktor tempatan yang banyak memberi sumbangan dalam industri pembinaan.

Artikel Berkaitan:

Katanya, pengiktirafan itu juga secara tidak langsung dapat meningkatkan keyakinan masyarakat terhadap perkhidmatan yang ditawarkan syarikat kontraktor berkenaan.

“Kelebihan menyertai program SKB ini juga adalah syarikat terbabit berpeluang menyertai sebut harga bagi projek hartanah PKNS yang mana sebut harga tersebut tidak disertai kontraktor luar,” katanya. - Bernama