Laporan Double Six tamatkan spekulasi waris, rakyat Sabah

Laporan Sinar Harian pada Rabu. (Gambar kecil: Azis)
Laporan Sinar Harian pada Rabu. (Gambar kecil: Azis)
A
A
A

KOTA KINABALU - [DIKEMASKINI] Keputusan kerajaan Persekutuan untuk mendedahkan laporan penuh tragedi Double Six akan menamatkan segala persoalan dan spekulasi mengenai kemalangan yang menyebabkan 11 nyawa terkorban termasuk Ketua Menteri Sabah, Tun Fuad Stephens pada 6 Jun 1976.

Ketua Penerangan Parti Warisan (Warisan) Datuk Azis Jamman berkata, keputusan itu adalah satu langkah baik untuk rakyat di negeri ini dan waris yang terlibat.

"Pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini adalah sesuatu yang dialu-alukan oleh ramai rakyat Sabah setelah sekian lama menunggu laporan mengenai nahas udara itu.

"Ia akan menamatkan segala persoalan dan spekulasi mengenai kemalangan yang menyebabkan kematian 11 orang, termasuk Ketua Menteri, Tun Fuad Stephens," katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Katanya lagi, tragedi itu masih terpahat dalam ingatan ramai rakyat Sabah yang sejak itu tertanya-tanya punca kejadian kemalangan.

"Persoalan dan spekulasi biasanya timbul setiap tahun apabila upacara memperingati mereka yang terkorban diadakan di tapak kejadian di Sembulan.

"Warisan mengucapkan terima kasih kepada kerajaan Persekutuan yang bersetuju untuk mendedahkan laporan penuh tragedi Double Six dan sekali gus mengatasi kebimbangan rakyat Sabah," katanya.

Sementara itu, Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, kerajaan Sabah akan menerima penemuan laporan itu dengan hati yang terbuka.

"Ini melegakan kerana ia membongkar apa yang sebenarnya berlaku pada hari itu.

"Satu kelegaan bukan sahaja kepada keluarga mereka yang terkorban dalam nahas pesawat tetapi juga kepada rakyat Sabah," katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Laporan siasatan akhir berhubung insiden nahas Double Six yang berlaku 47 tahun lalu diturun taraf dan dinyahklasifikasi di mana laporan itu akan diumumkan pada minggu hadapan.

Perkara itu diputuskan dalam mesyuarat jemaah selepas mengambil kira pandangan yang dikemukakan rakyat Sabah dan tuntutan dibuat waris.