Laksana segera pelarasan pencen - PVATM

Shaharudin (tengah) ketika sidang akhbar di Wisma Pahlawan di Kuala Lumpur pada Rabu. - Foto Sinar Harian RAFEQ REDZUAN
Shaharudin (tengah) ketika sidang akhbar di Wisma Pahlawan di Kuala Lumpur pada Rabu. - Foto Sinar Harian RAFEQ REDZUAN
A
A
A

KUALA LUMPUR - Persatuan Veteran Angkatan Tentera Malaysia (PVATM) menggesa kerajaan agar menghentikan kenyataan mengelirukan berhubung isu pelarasan pencen yang masih belum selesai.

Presidennya, Datuk Shaharudin Omar berkata alasan kerajaan terpaksa berbelanja besar setiap tahun tidak wajar dijadikan sebab untuk tidak melaksanakan pelarasan pencen yang diperjuangkan PVATM sejak 10 tahun yang lalu.

Menurutnya, perbezaan pencen antara veteran bersara sebelum tahun 2013 dengan selepas tahun 2013 amat ketara sehingga 100 peratus.

“Ada antara mereka yang masih menerima pencen sebanyak RM1,083.79 sebulan.

“Jumlah yang terlibat dalam permohonan pelarasan pencen hanya seramai 78,546 dengan 73,233 (93.24 peratus) adalah terdiri dari anggota peringkat rendah yang berada dalam kategori B40 yang sebilangan besar tergolong sebagai miskin tegar,” katanya pada sidang akhbar di Wisma Pahlawan di sini pada Rabu.

Beliau berkata demikian ketika mengulas mengenai kenyataan Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari di dalam sesi Dewan Rakyat baru-baru ini tentang pelarasan pencen veteran tentera tidak dapat dilaksanakan selama ini kerana kerajaan tidak mempunyai kewangan yang cukup berikutan jumlah veteran ATM yang ramai.

Shaharudin berkata, PVATM berpendapat pihak kerajaan sendiri telah mewujudkan keadaan kekeliruan yang boleh mengundang ketidakpuasan dan kesangsian para veteran khasnya dan rakyat seluruh negara umumnya tentang ketelusan kerajaan dalam mentadbir negara.

“Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) (KWAP) melalui siaran media pada tahun 2022 memperakui Kewangan KWAP kini berjumlah RM136 bilion dan KWAP bersedia untuk tujuan pembiayaan bayaran pencen berkenaan atas arahan kerajaan, jadi di mana yang kata kerajaan tidak mempunyai kemampuan kewangan?” soal Shaharudin.

Tambahnya lagi, veteran tidak pernah cemburu dengan inisiatif yang diberikan kerajaan kepada rakyat negara ini seperti petani, pesawah, pekebun kecil, nelayan dan agensi-agensi penguatkuasaan kerajaan yang lain.

“Walau bagaimanapun veteran bangkit atas keperitan kehidupan yang dihadapi, pengiktirafan yang wajar serta keadilan yang dituntut sebagaimana anggota tentera menyerahkan seluruh kehidupan mereka demi agama, bangsa dan negara,” ujarnya

Katanya, terlalu banyak kaedah penyelesaian yang telah dikemukakan Kementerian melalui perbincangan, mesyuarat kajian bengkel dan perbincangan di peringkat tertinggi.

“PVATM merasakan pihak kerajaan mempunyai kemampuan sepenuhnya dengan kuasa kewangan, data yang lengkap dan kakitangannya yang berkeupayaan untuk memikir dan membuat keputusan yang terbaik demi kelangsungan hidup veteran negara ini,” tegasnya.