60 pelajar sakit perut makan ayam masak merah

Sivanesan
Sivanesan
A
A
A

IPOH - Seramai 60 pelajar Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) Gerik mengalami keracunan makanan selepas dipercayai makan ayam masak merah ketika berbuka puasa pada Ahad lalu.

Exco Kesihatan, Sumber Manusia, Integrasi Nasional dan Hal Ehwal Masyarakat India Perak, A Sivanesan berkata, pelajar Tingkatan Satu hingga Lima itu mengalami gejala sakit perut, cirit-birit dan sakit kepala bermula jam 8 malam.

Menurut beliau, tiada pelajar yang dirujuk ke hospital berhampiran.

"Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Hulu Perak telah membuat verifikasi dan kesemua pelajar yang bergejala dirawat oleh pasukan perubatan bergerak sebagai pesakit luar.

"Hasil temu bual mendapati ayam yang dihidangkan telah berbau semasa dimakan dan disyaki ayam terbabit telah rosak sebelum dimasak disebabkan bau yang tidak menyenangkan," katanya kepada pemberita di Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini pada Rabu.

Sivanesan berkata, sebanyak 10 sampel klinikal telah diambil untuk dianalisa.

"Dapur asrama diarahkan untuk ditutup selama tiga hari mengikut Akta Makanan 1983 bagi tujuan pembersihan.

"Jabatan Pendidikan Negeri diminta mengambil tindakan segera terhadap pihak yang bertanggungjawab sementara menunggu hasil analisa sampel yang telah diambil," katanya.

Kata beliau, pihaknya tidak berkompromi terhadap isu pengendalian kebersihan makanan terutama melibatkan pelajar.

"Ini bukan kejadian pertama kali apabila MRSM Taiping pernah mengalami kejadian sama melibatkan 103 pelajar pada tahun 2018.

"Saya pernah beri amaran sebelum ini, jika berlaku keracunan makanan, kontrak pengusaha kafetaria perlu dibatalkan serta-merta," katanya.