Selangor pamer mentaliti menang

Faisal l Halim (tengah) diasak pemain Negeri Sembilan, Levy Clement Mandinda pada perlawanan Liga Super 2023 di Stadium MBPJ, Petaling Jaya. - Foto Bernama
Faisal l Halim (tengah) diasak pemain Negeri Sembilan, Levy Clement Mandinda pada perlawanan Liga Super 2023 di Stadium MBPJ, Petaling Jaya. - Foto Bernama
A
A
A

SELANGOR FC mempamerkan semangat melawan tinggi apabila bangkit ketinggalan satu gol untuk mengatasi Negeri Sembilan FC, 2-1 dalam perlawanan Liga Super di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), Petaling Jaya.

Pada perlawanan itu, Selangor yang mendominasi permainan mempunyai peluang menjaringankan gol awal menerusi penyerang Ayron Rodriguez, namun dua percubaannya pada minit ketiga dan ke-10 serta tandukan pada minit ke-16 gagal menewaskan penjaga gol sensasi Negeri Sembilan, Sikh Izhan Nazrel Sikh Azman.

Tekanan anak buah Tan Cheng Hoe tidak mengendurkan peluang pasukan pelawat apabila skuad Hoben Jang Hoben kendalian K Devan terlebih dahulu mendahului hasil jaringan Herold Goulon selepas Anselmo Arruda Da Silva dijatuhkan Richmond Tetteh Ankrah pada minit ke-53 masa kecederaaan.

Babak kedua Selangor bangkit menyamakan kedudukan hasil gol Faisal Halim pada minit ke-56 selepas menyudahkan hantaran Quentin Cheng bagi menewaskan Sikh Izhan.

Tiga mata akhirnya menjadi milik Selangor selepas Sharul Nazeem menanduk hantaran sepakan percuma Yohandry Orozo pada minit ke-92 untuk kemenangan kelima selepas tujuh perlawanan.

Di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Kuala Nerus pula, Terengganu FC (TFC) melakar kemenangan besar di laman sendiri selepas menumpaskan Kelantan FC, 5-0.

Skuad Penyu mendahului 2-0 pada babak pertama hasil penyudah Jordan Mintah pada minit ke-15 sebelum Adisak Kraisorn meledak gol kedua enam minit kemudian.

Anak buah Tomislav Steinbruckner kemudian meledak tiga gol di babak kedua masing-masing menerusi gol Ivan Mamut pada minit ke-66 dan penaltinya pada masa kecederaan babak kedua serta jaringan pemain gantian, Hakimi Abdullah, untuk melengkapkan kemenangan bergaya 5-0.

Tiga mata itu menyaksikan TFC kini berada di kedudukan keenam dengan 10 mata manakala Kelantan FC, yang merehatkan pengendalinya, Choi Moon-sik, 30 minit sebelum perlawanan, kekal tercorot dengan satu mata tanpa sebarang kemenangan selepas enam perlawanan.