Pemuda UMNO tak bantah pinjaman KWSP

Dr Muhamad Akmal (dua dari kiri) bercakap ketika sidang akhbar selepas Mesyuarat Exco Pemuda UMNO Malaysia di Menara Dato Onn pada Selasa. - Foto: Bernama
Dr Muhamad Akmal (dua dari kiri) bercakap ketika sidang akhbar selepas Mesyuarat Exco Pemuda UMNO Malaysia di Menara Dato Onn pada Selasa. - Foto: Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR – Pemuda UMNO menyatakan pendirian untuk menyokong dan tidak membantah tindakan kerajaan melaksanakan pinjaman wang dalam Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

Ketuanya, Dr Muhamad Akmal Saleh berkata, bagaimanapun pihaknya akan mengemukakan cadangan penambahbaikan bagi pelaksanaan itu dan bakal diumumkan tidak lama lagi.

“Kita tidak bantah tetapi kita ada cadangan penambahbaikan yang kita akan umumkan tidak lama lagi,” katanya dalam sidang akhbar selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Pergerakan Pemuda UMNO di Menara Dato’ Onn pada Selasa.

Pada Isnin, KWSP memaklumkan, pencarum berusia 40 tahun ke atas layak membuat pinjaman bank bermula 7 April ini dengan syarat mempunyai jumlah minimum RM3,000 dalam Akaun 2.

Sebelum ini KWSP dalam kenyataannya berkata, dua bank menyediakan kemudahan pinjaman itu iaitu Bank Simpanan Nasional (BSN) dan MBSB Bank serta akan mempertimbangkan untuk menambah lebih banyak bank yang mengambil bahagian pada masa hadapan.

Selain itu, Dr Akmal berkata, sayap parti tersebut bersedia untuk membawakan isu pengeluaran KWSP kepada kerajaan sekiranya ia perkara utama yang mendapat perhatian rakyat.

“Pemuda UMNO tidak pernah lari daripada perjuangan. Tetap konsisten untuk bawa dan perjuangkan isu rakyat.

“Jika isu KWSP ini benar-benar kita rasa perlu diperjuangkan, sudah tentu kita akan bawa isu ini,” ujarnya.