Polis siasat kejadian rusuhan di hadapan kelab malam

Video tular memaparkan sekumpulan individu merusuh di hadapan sebuah kelab malam di Jalan Metro Pudu Kuala Lumpur, pada Ahad.
Video tular memaparkan sekumpulan individu merusuh di hadapan sebuah kelab malam di Jalan Metro Pudu Kuala Lumpur, pada Ahad.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Polis sedang menjalankan siasatan berkaitan kejadian sekumpulan individu merusuh di hadapan sebuah kelab malam di Jalan Metro Pudu Kuala Lumpur, pada Ahad.

Timbalan Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Deputi Superintendan D Saralathan berkata, pihaknya terkesan satu video tular berdurasi satu minit 36 saat yang memaparkan kejadian itu.

"Hasil semakan, setakat ini masih tiada laporan polis yang diterima daripada mana-mana pihak, namun kita masih menjalankan siasatan dan risikan untuk mendapatkan maklumat berkaitan kejadian tersebut," katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Saralathan berkata, orang ramai dinasihatkan supaya tidak membuat sebarang spekulasi serta menularkan video tersebut kerana ia boleh mendatangkan kegusaran awam.

"Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kejadian ini diminta menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah Wangsa Maju di talian 03-92899222, Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-21159999 atau mana-mana balai polis berhampiran," katanya.