Kerajaan pilih pendekatan sederhana kawal selia rokok

Kerajaan mengambil pendekatan sederhana dalam usaha mengawal selia semua produk rokok termasuk bahan mengandungi nikotin ketika ini. - Gambar hiasan
Kerajaan mengambil pendekatan sederhana dalam usaha mengawal selia semua produk rokok termasuk bahan mengandungi nikotin ketika ini. - Gambar hiasan
A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMASKINI] Kerajaan mengambil pendekatan sederhana dalam usaha mengawal selia semua produk rokok termasuk bahan mengandungi nikotin ketika ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, tindakan drastik seperti mengharamkan semua produk berkaitan tidak mampu mengawal masyarakat meneruskan tabiat itu.

"Kita ambil tindakan memberi kesedaran, tetapi mengambil tindakan ekstrem (iaitu) mengharamkan vape, nikotin, rokok itu agak drastik dan tidak mampu dikendalikan oleh mana-mana negara dunia.

“Itu sebab kerana ramai orang (masih) pilih untuk merokok walaupun kita keluarkan kempen, sama seperti arak. Jadi sementara kita kempen mengenai kesan negatif (rokok), tetapi kita teruskan dengan (mengenakan) percukaian sekadar untuk tidak menjadikan bahan itu tersebar luas dan murah.

“Saya setuju bahawa badan-badan kesihatan profesional semuanya tanpa kecuali termasuk doktor, memang menentang keras soal ini tetapi pada pandangan kerajaan buat sementara ini sukar untuk mengharamkan tetapi kita boleh meningkatkan kesedaran,” katanya pada sesi pertanyaan menteri di Dewan Rakyat pada Selasa.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan tambahan Datuk Dr Ahmad Yunus Hairi (PN-Kuala Langat) mengenai implikasi tindakan kerajaan menyahsenaraikan produk cecair dan gel nikotin yang digunakan dalam alat rokok elektronik daripada Akta Racun 1952 yang di seolah menggadaikan masa depan generasi muda yang terdedah kepada ketagihan dan penyakit berkaitan rokok.

Sementara itu Ahli Parlimen Tambun itu memaklumkan, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) KKM akan membentangkan rang undang-undang berkaitan kawalan produk merokok termasuk rokok elektronik atau peranti pengewapan elektronik pada Mesyuarat Kedua, Penggal Kedua yang dijangka pada Mei akan datang.

"Sementara itu kerajaan akan mempergiatkan kempen advokasi kesedaran menolak vape dan merokok harus ditingkatkan," jelasnya.