Melayu Islam diingatkan tidak terlalu selesa, angkuh - PM

Anwar
Anwar
A
A
A

PUTRAJAYA - [DIKEMASKINI] Kaum Melayu Islam di negara ini diingatkan agar tidak terlalu selesa dan angkuh sehingga meminggirkan kelompok yang lain.

Tegas Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, kaum majoriti di negara ini perlu mengambil pengajaran daripada pentadbiran Kemboja yang meraikan masyarakat Islam di negara itu.

"Kemboja adalah negara yang majoritinya dianuti oleh masyarakat Buddha tetap meraikan sekumpulan minoriti Islam yang hanya 10 peratus dengan mengadakan program iftar serta melantik menteri Islam," katanya dalam ucapan Perhimpunan Bulanan Kementerian Kewangan, di sini pada Selasa.

Ujar Anwar, sikap selesa dan angkuh bukan dianjurkan dalam pengajaran serta pedoman Rasullah SAW sebagaimana Perjanjian Madinah yang menyatupadukan semua pihak asalkan patuh kepada peraturan, Perlembagaan serta tidak memerangi majoriti.

"Sebab itu sementara kita menjaga kepentingan Melayu Muslim, kita harus pastikan ada prinsip saling hormat-menghormati, meraikan dan memberi hak kewarganegaraan kepada semua," katanya.

Beliau berkata, Kerajaan Perpaduan pimpinannya dikritik keras kerana ada pihak yang merasakan kaum lain diberi lebih perhatian.

"Tidak," katanya.

Pada 28 Mac lalu, Anwar membuat kunjungan ke Phnom Penh bagi mengukuhkah hubungan diplomatik yang terjalin sejak 66 tahun lalu selain membincangkan pelbagai isu dua hala, serantau serta antarabangsa dengan rakan sejawatannya, Hun Sen.

Beliau turut berpeluang menghadiri majlis berbuka puasa bersama 6,000 umat Islam yang dihoskan oleh Hun Sen.

Sementara itu pada perkembangan lain, Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, Malaysia perlu bersiap sedia dengan semua prasarana, infrastruktur dan sumber tenaga tempatan supaya dapat memanfaatkan sepenuhnya kemasukan pelaburan asing.

Menurutnya, pelaburan asing ke negara ini menunjukkan peningkatan berbanding sebelumnya.

"Saya percaya saudara cukup pengalaman dalam pelbagai bidang ini dapat mengenalpasti beberapa langkah yang perlu diambil kerana saya lihat soal pelaburan, kedatangan pelaburan itu kian rancak

"Mengambil contoh apabila Amazon Web Services (AWS) masuk, kalau kita hanya tunggu pelaburan dan tidak menyiapkan jentera, kemahiran, pekerjaan, infrastruktur, ia akan menjadi masalah," katanya.