Penuntut kolej maut, pelajar sekolah parah nahas dua motosikal

Kemalangan pada jam 3.34 petang itu mengorbankan Nijha Ilhany, 21, yang merupakan pelajar kolej kejururawatan.
Kemalangan pada jam 3.34 petang itu mengorbankan Nijha Ilhany, 21, yang merupakan pelajar kolej kejururawatan.
A
A
A

KLUANG - Seorang penuntut sebuah kolej maut dan seorang pelajar sekolah cedera parah selepas terlibat dalam kemalangan di Kilometer 75, Jalan Johor Bharu-Ayer Hitam dekat sini pada Isnin.

Kemalangan pada jam 3.34 petang itu mengorbankan Nijha Ilhany, 21, yang merupakan penuntut kolej kejururawatan, manakala Muhammad Azrul Hakimi, 16, pelajar Sekolah Menengah (SM) Abdul Rahman Andak, Simpang Renggam cedera parah.

Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Bahrin Mohd Noh berkata, kemalangan tersebut melibatkan motosikal jenis Suzuki ditunggang pentuntut kolej tersebut dan motosikal Modenas Kriss ditunggang pelajar berkenaan.

"Hasil siasatan awal di tempat kejadian mendapati motosikal Suzuki datang dari arah Johor Bahru menghala ke Pasar Raya Econsave dilanggar oleh Modenas Kriss dari arah Ayer Hitam ke Johor Bharu yang melanggar lampu isyarat merah pada masa kejadian.

"Akibat kemalangan itu, penuntut kolej itu mengalami kecederaan di bahagian kepala dan meninggal dunia di tempat kejadian manakala pelajar tersebut cedera parah di kepala," katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Beliau berkata, pelajar berkenaan masih menerima rawatan di Zon Merah Hospital Enche’ Besar Hajjah Khalsom (HEBHK) di sini.

Tambahnya, kedua-dua mangsa beralamat di Simpang Renggam dan kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalam 1987.