Mogok: HQEI berjalan lancar, tiada kesesakan luar biasa

Keadaan sekitar HQEI yang beroperasi seperti biasa di hospital HQEI.
Keadaan sekitar HQEI yang beroperasi seperti biasa di hospital HQEI.
A
A
A

KOTA KINABALU - Operasi perkhidmatan kesihatan di Hospital Queen Elizabeth I (HQEI) berjalan lancar tanpa sebarang kesesakan luar biasa susulan isu mogok doktor kontrak yang dilancarkan di seluruh negara bermula Isnin.

Tinjauan Sinar Harian di HQEI mendapati, keadaan terkawal di mana pesakit yang hadir dilihat mendapat layanan daripada petugas atau kakitangan hospital berkenaan seperti biasa.

Malah tiada keadaan yang menunjukkan berlakunya kesesakan luar biasa berikutan kekurangan kakitangan apabila doktor kontrak dikatakan mengambil bahagian dalam mogok yang dilancarkan oleh doktor-doktor kontrak di seluruh negara.

Bagaimanapun difahamkan, jururawat di hospital berkenaan diminta sentiasa bersedia jika berlakunya kesesakan luar jangka berlaku.

Sementara itu, Pengarah Kesihatan Negeri Sabah Datuk Dr Rose Nani Mudin ketika dihubungi berkata, Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS) akan memastikan perkhidmatan kesihatan kepada rakyat akan diteruskan.

Sebelum itu, menurut laporan akhbar, mogok doktor kontrak Malaysia yang bertemakan 'Mogok Black Monday' tetap diteruskan pada Isnin hingga Rabu, walaupun dilarang oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Mogok doktor Malaysia menerusi hantaran di Instagram meminta semua pihak yang menyokong gerakan yang dilakukan untuk memakai pakaian berwarna hitam.