Harga minyak masak botol kekal sehingga 8 Mei

Salahuddin (tengah) pada sidang media di lobi Parlimen pada Isnin.
Salahuddin (tengah) pada sidang media di lobi Parlimen pada Isnin.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) memutuskan harga runcit minyak masak sawit tulen botol satu hingga lima kilogram tidak akan dinaikkan bagi tempoh 8 April hingga 7 Mei depan.

Menterinya, Datuk Seri Salahuddin Ayub berkata, pihaknya telah mengadakan sesi libat urus dengan pemain industri memastikan sambutan Ramadan dan Hari Raya Aidilfitri tidak terjejas dengan sebarang isu kenaikan harga yang tidak munasabah.

Menurutnya, selain pelbagai inisiatif di bawah Payung Rahmah, turut diteruskan adalah peranan Kerajaan menerusi KPDN yang menetapkan harga runcit maksimum Maksimum bagi minyak masak tulen kemasan botol bawah Perintah Kawalan Harga dan Antipencatutan (Penentuan Harga Maksimum) (No. 5) 2023.

"Harga runcit maksimum bagi minyak masak kelapa sawit tulen botol dikekalkan RM6.90 (1kg), RM13.30 (2kg) RM19.60 (3kg) dan RM30.90 (5kg).

"Mana-mana pihak yang menjual melebihi harga maksima boleh diambil tindakan di bawah Aka Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 dan boleh dikenakan penalti iaitu denda sehingga RM100,000 atau dipenjarakan tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya bagi individu dan denda sehingga RM500,000 bagi syarikat,"katanya pada Sidang Akhbar di lobi Parlimen pada Isnin.

Harga runcit minyak masak sawit tulen botol satu hingga lima kilogram tidak akan dinaikkan bagi tempoh 8 April hingga 7 Mei depan. - 123RF
Harga runcit minyak masak sawit tulen botol satu hingga lima kilogram tidak akan dinaikkan bagi tempoh 8 April hingga 7 Mei depan. - 123RF

Beliau menjelaskan, secara umumnya terdapat kenaikan harga minyak sawit mentah untuk bulan Mac berbanding bulan sebelumnya yang telah melepasi RM4,000.00 per tan metrik.

"Purata harga Minyak Sawit Mentah untuk bulan Mac 2023 adalah RM4,139 per tan matrik berbanding RM3,908 per tan matrik pada bulan Februari 2023.

"Kenaikan ini sekali gus akan menyebabkan berlakunya kenaikan harga runcit minyak masak tulen kemasan botol berdasarkan kepada konsep harga siling bergerak," katanya.

Justeru, pengekalan harga runcit minyak masak sawit kemasan botol ini melibatkan pembayaran subsidi kepada pengilang-pengilang penapis secara tuntutan bayaran balik (reimbursement) berdasarkan bilangan tuntutan sebenar.

"Kita membayar subsidi sebanyak RM7 juta sebulan. Itu komitmen kerajaan bagi memastikan harga tidak naik.

"Minyak bersubsidi bagi minyak paket kekal dengan harga RM2.50 setiap kilogram," katanya.