'Makan bukan hanya kenyang, tapi sihat'

Pelajar menikmati makanan yang disediakan.
Pelajar menikmati makanan yang disediakan.
A
A
A

SHAH ALAM - Syarikat Padiberas Nasional Berhad (BERNAS) tampil dengan Program Makanan Kesihatan (PROMAK) bagi membantu hidden hunger atau kelaparan tersembunyi dalam kalangan pelajar yang kurang berkemampuan khususnya dari luar bandar.

Bantuan berkenaan selaras dengan laporan hasil kajian oleh Institut Penyelidikan Khazanah (KRI) berhubung isu malnutrisi di Malaysia yang mendapati isi rumah luar bandar merekodkan kadar kurang berat badan dan kebantutan tertinggi berbanding isi rumah di kawasan bandar.

“Kajian tersebut turut mendapati 34 peratus dari kanak-kanak berusia lima tahun dan ke bawah di Kelantan mencatatkan kadar kebantutan tertinggi pada tahun 2016, disusuli Terengganu dengan peratus kebantutan sebanyak 26.1 peratus dan Pahang, 25.7 peratus.

“Bimbang dengan keadaan ini, bantuan PROMAK mula dilancarkan di beberapa sekolah rendah di daerah Kuala Krai, Kelantan dan seterusnya diperluaskan ke Terengganu, Kedah, Perlis, Pulau Pinang dan akan datang di Pahang.

“Hampir 20,000 murid sekolah rendah di lebih 93 buah sekolah kini menikmati hidangan makan tengah hari percuma yang seimbang setiap hari,” katanya.

Menurut kenyataan itu, program tersebut dijalankan dengan kerjasama Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Tambahnya, kerajaan menerusi pihak KPM telahpun melaksanakan Rancangan Makanan Tambahan (RMT) kepada para pelajar sekolah seawal tahun 1979 dengan matlamat untuk membantu murid dari keluarga berpendapatan rendah mendapat makanan yang secukupnya sebagai keperluan harian mereka.

Pelajar beratur untuk mengambil makanan menerusi Program Makanan Kesihatan (PROMAK).
Pelajar beratur untuk mengambil makanan menerusi Program Makanan Kesihatan (PROMAK).

“Sebagai tambahan kepada program RMT sedia ada, PROMAK berhasrat untuk membantu menangani isu malnutrisi atau hidden hunger yang mengancam proses tumbesaran kanak-kanak sekolah pada hari ini.

“Ia dilihat sebagai satu usaha bersepadu syarikat swasta dan kerajaan yang bergerak seiring ke arah matlamat yang sama iaitu mengekalkan kesejahteraan pemakanan kanak-kanak yang bakal menjadi pemimpin generasi masa depan,” ujarnya.

APA KATA GURU

Sementara itu, Guru Besar Sekolah Kebangsaan Kampung Kandis, Pasir Puteh Kelantan, Mohd Zulkifli Nor menyifatkan bahawa PROMAK sebagai rezeki tepat untuk anak-anak yang memerlukan bantuan demi kelangsungan pelajaran mereka.

Jelas beliau, secara zahirnya, program itu dilihat sebagai bantuan makanan kepada pelajar, tetapi impaknya adalah meluas dalam melahirkan generasi yang cemerlang.

“Dengan PROMAK, pelajar makan bukan sekadar untuk kenyang tetapi untuk sihat,” katanya.

Guru Penyelia PROMAK di Sekolah Kebangsaan (SK) Keruak, Besut, Terengganu, Saliza Ali pula memaklumkan, kesemua 315 pelajar sekolah berkenaan menerima bantuan PROMAK.

Ujarnya, makanan seimbang yang dibekalkan pihak PROMAK itu amat diperlukan dalam meningkatkan kecemerlangan pelajar.

Penolong Kanan Hal Ehwal Pelajar (HEP) SK Kampung Kandis, Rosdi Abdul Rahman pula berkata, antara kesan nyata yang dapat dilihat sejak PROMAK diperkenalkan adalah dari segi peningkatan kehadiran pelajar ke sekolah.

Ujarnya, sekolah tersebut menyasarkan 93 peratus kehadiran pelajar dan ia dapat dicapai dengan bantuan program makan tengah hari itu.

“Dahulunya pelajar akan pulang ke rumah dahulu sebelum menghadiri kelas di sebelah petang untuk makan dan kebanyakannya tidak akan kembali.

“Tetapi kini murid sudah tidak berdepan masalah ‘duit belanja’ untuk makan di sekolah apabila mereka perlu menghadiri Kelas Al-Quran dan Fardhu Ain (Kafa) di sebelah petang yang akan bermula pada jam 1.30 petang sehingga 5 petang.

“Rekod kes ponteng dalam kalangan murid khususnya untuk kelas di sebelah petang semakin berkurang, ini kerana bekalan makan tengah hari yang mencukupi dan seimbang amat penting untuk kesediaan fizikal dan minda murid bagi menghadapi sesi pengajaran dan pembelajaran (PdP) yang panjang,” jelasnya.