Mindef pastikan veteran ATM dapat peluang kerjaya kedua

Adly (dua dari kiri) ketika menziarahi veteran ATM Masrizal yang terlantar kerana menghidap penyakit Systemic Lupus Erythematosus (SLE) di kediamannya di Kampung Masjid Hujung, Hutan Kampung pada Ahad.
Adly (dua dari kiri) ketika menziarahi veteran ATM Masrizal yang terlantar kerana menghidap penyakit Systemic Lupus Erythematosus (SLE) di kediamannya di Kampung Masjid Hujung, Hutan Kampung pada Ahad.
A
A
A

ALOR SETAR - Kementerian Pertahanan (Mindef) akan memastikan veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) mendapat peluang kerjaya kedua bagi menjamin kebajikan mereka.

Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari berkata, usaha berkenaan adalah salah satu inisiatif yang dilaksanakan dengan kerjasama beberapa agensi seperti Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT).

Menurutnya, menerusi inisiatif berkenaan veteran yang menamatkan perkhidmatan pada tahun ini akan dipadankan dengan peluang pekerjaan atau diberi latihan untuk meningkatkan kemahiran.

"Selain itu, terdapat juga banyak geran padanan dan dana pembiayaan turut ditawarkan kepada usahawan veteran," katanya ketika menziarahi veteran ATM, Masrizal Ishak, 42, yang terlantar kerana menghidap penyakit Systemic Lupus Erythematosus (SLE) di kediamannya di Kampung Masjid Hujung, Hutan Kampung di sini pada Ahad.

Adly berkata, kementerian turut berharap veteran yang masih belum berdaftar dengan Jabatan Hal Ehwal Veteran (JHEV) dapat berbuat demikian dengan segera supaya bantuan sepatutnya dapat disalurkan dengan lancar.

"Menurut rekod, kira-kira 100,000 orang masih belum mendaftar dengan JHEV, ini penting supaya kita mempunyai data kerana kita boleh bertindak dengan baik.

"Kita boleh susun kerjayanya, susun isu yang melibatkan kebajikan dan kesihatan (veteran ATM) supaya mereka tidak terabai di usia emas," katanya.

Tambah Adly, sebanyak 170 rumah disasarkan untuk dibaik pulih dan 40 rumah dibina baharu melalui Program Inisiatif Perumahan Veteran ATM pada tahun ini.

"Kalau kita lihat dalam KPI (Petunjuk Prestasi Utama) 100 hari kita memang kita sasarkan kelulusan 100 permohonan pembaikan rumah veteran.

"Bagaimanapun setakat Mac lepas, sebanyak 121 permohonan baik pulih rumah diluluskan iaitu melepasi sasaran itu,” katanya.

Adly berkata, jumlah penerima Bantuan Sara Hidup (BSH) sejumlah RM300 sebulan juga ditingkatkan kepada 15,000 veteran ATM pada tahun ini dengan peruntukan sebanyak RM54 juta setahun.

"Pada tahun lepas cuma 9,000 penerima manfaat ini, tapi tahun ini kita tingkatkan jumlahnya supaya lebih ramai veteran dapat BSH," katanya.