Hasrat beli persiapan Aidilfitri tak kesampaian

Keadaan kereta dipandu mangsa (gambar kecil: Mohamad Fakhrul) selepas terlibat kemalangan di KM325.2 Lebuh Raya Pantai Timur 2 (LPT2) arah Kuantan, pada petang Sabtu. - Foto PDRM
Keadaan kereta dipandu mangsa (gambar kecil: Mohamad Fakhrul) selepas terlibat kemalangan di KM325.2 Lebuh Raya Pantai Timur 2 (LPT2) arah Kuantan, pada petang Sabtu. - Foto PDRM
A
A
A

KEMAMAN - Hasrat seorang lelaki untuk membeli persiapan Aidilfitri tidak kesampaian apabila dia meninggal dunia selepas terlibat kemalangan di Kilometer (KM) 325.2 Lebuh Raya Pantai Timur 2 (LPT2) arah Kuantan di sini pada petang Sabtu.

Mangsa, Mohamad Fakhrul Alias, 32, yang beralamat di Kampung Bukit Wan, Kuala Terengganu meninggal dunia akibat kecederaan parah pada bahagian dada.

Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintendan Hanyan Ramlan berkata, nahas berlaku kira-kira jam 3.40 petang itu melibatkan sebuah kereta jenis Honda City yang dipandu mangsa bersama tiga orang penumpang.

Jelas beliau, ketika kejadian kenderaan tersebut dari arah dari Batu Rakit di Kuala Terengganu menghala ke Kuantan untuk membeli persiapan sambutan Hari Raya Aidilfitri.

"Siasatan awal mendapati kemalangan berlaku ketika kereta dipandu mangsa yang berada di lorong kanan telah hilang kawalan dan terbabas ke kanan jalan dan berpusing sebelum melanggar besi penghadang jalan.

"Akibat perlanggaran itu, pemandu kereta meninggal dunia di tempat kejadian kerana kecederaan parah di bahagian dada akibat terhentak pada stereng kenderaan," katanya dalam kenyataan di sini pada Ahad.

Menurut Hanyan, mayat mangsa telah dibawa ke Hospital Kemaman untuk tindakan lanjut.

Beliau berkata, tiga lagi penumpang iaitu Affizie Mohd, 36; Azuan Rosdi Mohd, 29 dan Muhammad Aqilfikri Azamani @ Azman, 21 tidak mengalami kecederaan.

Katanya, kes itu diklasifikasikan bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.