Ketupat palas Kedah pilihan warga kota

Ketupat palas Kedah yang lemak dan sedap menjadi pilihan warga kota setiap kali sambutan Hari Raya Aidilfitri. Gambar kanan: Ketupat Palas Kubang Sepat menawarkan empat jenis ketupat iaitu biasa, jagung, kacang dan pulut hitam.
Ketupat palas Kedah yang lemak dan sedap menjadi pilihan warga kota setiap kali sambutan Hari Raya Aidilfitri. Gambar kanan: Ketupat Palas Kubang Sepat menawarkan empat jenis ketupat iaitu biasa, jagung, kacang dan pulut hitam.
A
A
A

KUBANG PASU - Seorang pengusaha ketupat palas di Kampung Kubang Sepat di sini tidak menang tangan menyiapkan tempahan daripada pelanggan setiap kali Ramadan.

Muhammad Shauqee Che Halim, 31 berkata, ketupat palas yang diusahakannya sejak 10 tahun lalu itu bukan saja mendapat tempahan daripada penduduk setempat, malah permintaan tinggi daripada warga Kuala Lumpur dan Selangor.

Menurutnya, sekurang-kurangnya 1,000 kilogram (kg) ketupat sejuk beku disediakan hanya untuk menampung permintaan pelanggan dari Kuala Lumpur dan Selangor.

"Permintaan ketupat dari sana mula meningkat sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada tahun 2020 lalu.

"Masa tu kita tak boleh rentas negeri, jadi ramai warga kota yang tak balik kampung pada hari raya Aidilfitri.

"Sejak itu permintaan ketupat dari sana mulai meningkat. Bukan sahaja ketika Ramadan, waktu biasa pun ada yang tempah," katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Kubang Sepat di sini pada Sabtu.

Ibunya, Siti Mariam Mustaffa, 65, turut membantu membuka daun palas untuk menyiapkan tempahan ketupat.
Ibunya, Siti Mariam Mustaffa, 65, turut membantu membuka daun palas untuk menyiapkan tempahan ketupat.

Menurutnya, tiga jenis ketupat palas iaitu jagung, kacang dan pulut hitam antara yang mendapat permintaan tinggi pelanggan dari Selangor dan Kuala Lumpur.

"Ramai yang suka ketupat orang Kedah buat, katanya lemak dan sedap dicicah dengan rendang atau serunding.

"Selalunya kalau ada yang hubungi saya, depa akan tanya dulu ini ketupat Kedah atau Kelantan sebab kalau yang Kelantan rasanya agak manis," katanya.

Bapa kepada seorang cahaya mata ini berkata, bagi tempoh awal Ramadan ini dia sudah menghantar 300kg ketupat palas sejuk beku ke Selangor dan Kuala Lumpur.

"Selalunya dalam seminggu kemudian, ejen akan tambah stok 100kg atau 200kg lagi sehinggalah tibanya hari raya," katanya.

Menurutnya, ketupat di Kuala Lumpur dan Selangor dijual pada harga antara RM38 hingga RM45 sekilogram mengikut jenis.

"Harga sedikit berbeza dengan di Kedah sebab kita turut ambil kira kos penghantaran.

"Setakat ini tiada rungutan daripada pelanggan tentang harga dan kualiti kerana ketupat kita sampai dalam keadaan baik kepada mereka," katanya.

Muhammad Shauqee menambah, bagi Ramadan kali ini dia perlu menyediakan sekurang-kurangnya 3,000kg ketupat palas untuk menampung permintaan pelanggan secara keseluruhannya.

"Selain seorang ejen di Selangor, saya juga ada beberapa ejen di Kedah serta turut membuat jualan terus dari rumah untuk pelanggan berdekatan," katanya.