Penang FC mula dapat tonik semangat

Pemain Penang FC, Hassan Saad (kanan) meraikan jaringannya ketika berdepan Perak FC di Stadium Bandaraya pada Jumaat. - Foto Bernama
Pemain Penang FC, Hassan Saad (kanan) meraikan jaringannya ketika berdepan Perak FC di Stadium Bandaraya pada Jumaat. - Foto Bernama
A
A
A

KEMENANGAN sulung Penang FC selepas enam perlawanan dalam Liga Super musim ini setelah berjaya menewaskan Perak FC 3-1 di Stadium Bandaraya pada Jumaat dilihat mampu menjelmakan motivasi tambahan buat skuad Harimau Kumbang.

Pengendali Penang FC, Manzoor Azwira Abd Wahid berkata, selepas meraih kemenangan itu, Harimau Kumbang akan memberikan lebih tumpuan untuk menentang pihak lawan dalam pertembungan seterusnya.

"Selepas perlawanan malam ini, kami akan fokus pada perlawanan yang akan datang untuk bertemu dengan Kedah Darul Aman FC, satu pasukan yang kuat.

"Jadi, kami akan cuba mendapatkan mata di Kedah supaya perbezaan mata itu tidak berada pada jurang yang sangat besar," katanya kepada pemberita selepas perlawanan.

Mengulas mengenai peluang pemain muda yang dikatakan kurang mendapat tempat dalam kesebelasan utama, Manzoor Azwira berkata, beliau akan mengambil kira pelbagai aspek.

"Saya rasa perlawanan lalu semasa menentang Sabah FC kita ada beri peluang kepada Alif Ikmalrizal lebih 20 minit untuk bermain dan kita perlu mengambil kira rekod pasukan tahun lalu yang agak teruk.

"Jadi buat masa sekarang kita perlu memastikan kedudukan pasukan itu lebih terjamin supaya tekanan-tekanan yang lain tidak berlaku tetapi dalam masa sama, saya tetap bagi peluang kepada pemain muda," jelasnya.