Lelaki ditahan, tiga guni mercun bola antara dirampas

Mercun dan bunga api yang dirampas dalam serbuan di sebuah rumah di Taman Desa Jaya pada Jumaat.
Mercun dan bunga api yang dirampas dalam serbuan di sebuah rumah di Taman Desa Jaya pada Jumaat.
A
A
A

PASIR GUDANG - Polis merampas pelbagai jenis mercun dan bunga api bernilai RM8,000 untuk jualan Aidilfitri dalam serbuan di sebuah rumah di Taman Desa Jaya di sini pada Jumaat.

Ketua Polis Daerah Seri Alam, Superintendan Mohd Sohaimi Ishak berkata, seorang lelaki tempatan berusia 28 tahun turut ditahan dalam serbuan dilakukan Pasukan Polis Marin, Pengerang itu.

Menurutnya, serbuan dijalankan pada kira-kira jam 5.10 petang itu membawa kepada penemuan tiga guni mercun bola dan 26 kotak pelbagai jenis mercun serta bunga api.

"Polis menahan seorang lelaki kerana didapati memiliki pelbagai jenis mercun dan bunga api tanpa lesen.

"Anggaran nilai rampasan sebanyak RM8,000," katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Beliau berkata, hasil semakan rekod jenayah lampau mendapati suspek tidak mempunyai rekod lampau.

"Suspek kini suspek direman selama empat hari bermula Sabtu.

"Kes disiasat di bawah Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957," katanya.

Pada masa sama, Mohd Sohaimi mengingatkan mana-mana pihak supaya tidak menawarkan apa-apa penjualan mercun secara terbuka tanpa mendapatkan lesen daripada pihak polis.

"Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai penjualan mercun diminta segera membuat aduan di balai polis terdekat," katanya.