Maritim Malaysia Kuala Kurau rampas 98 bubu naga

Pasukan bot peronda mengesan pelambung mencurigakan disyaki penanda bubu naga. - Foto Maritim Kuala Kurau
Pasukan bot peronda mengesan pelambung mencurigakan disyaki penanda bubu naga. - Foto Maritim Kuala Kurau
A
A
A

PARIT BUNTAR - Sebanyak 98 unit bubu naga dirampas Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Kuala Kurau menerusi rondaan rutin pada Khamis dan Jumaat di sini.

Pengarah Zon Maritim Kuala Kurau, Komander Maritim Mohd Najhan Azman Hamid berkata, rampasan pertama melibatkan 53 unit bubu di kedudukan 7.4 batu nautika barat Pulau Sangga Besar.

Menurutnya, dalam pemeriksaan sekitar jam 2.10 petang itu, pasukan bot peronda mengesan pelampung mencurigakan disyaki penanda bubu naga tersebut.

"Hasil pemeriksaan ke atas pelampung itu telah menemukan bubu naga berada di lokasi terbabit," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Sabtu.

Beliau berkata, 45 lagi unit bubu naga dirampas hasil pemeriksaan di kedudukan 1.25 dan 1.55 batu nautika barat daya perairan Tanjung Piandang pada Khamis.

Katanya, kesemua bubu naga yang dirampas dianggarkan RM6,860 telah dibawa ke Jeti Zon Maritim Kuala Kurau untuk tindakan lanjut.

"Kes disiasat di bawah Seksyen 11 (3)(c) Akta Perikanan 1985," katanya.