Pastikan jual makanan berkualiti sepanjang Ramadan

Dr Mohd Hayati (dua dari kiri) menziarahi pesakit pada Program Aktif Semarak Ramadan-Belia Bebas Dadah di Lorong 8, Kuala Kedah pada Sabtu.
Dr Mohd Hayati (dua dari kiri) menziarahi pesakit pada Program Aktif Semarak Ramadan-Belia Bebas Dadah di Lorong 8, Kuala Kedah pada Sabtu.
A
A
A

KUALA KEDAH - Peniaga bazar Ramadan di Kedah diminta menjaga kualiti dan kebersihan makanan dijual masing-masing sepanjang Ramadan ini.

Exco Kesihatan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Dr Mohd Hayati Othman berkata, mereka diingatkan tidak menjual makanan dan kuih-muih basi kepada orang ramai yang berkunjung ke gerai mereka.

Bagaimanapun, beliau mendapati peniaga bazar Ramadan di Kedah setakat ini menunjukkan komitmen mereka dengan mematuhi syarat-syarat ditetapkan.

"Setakat ini, memang bazar kita pergi (peniaga) bagi komitmen, yang (mana) peniaga-peniaga itu ambil suntikan tifoid (seperti disarankan).

"Namun, sudah semestinya kita berharap mereka tidak menjual makanan basi, tidak habis dan sebagainya," katanya

Beliau berkata sedemikian ketika ditemui Sinar Harian pada Program Aktif Semarak Ramadan-Belia Bebas Dadah di Lorong 8, Kuala Kedah, di sini, pada Sabtu.

Hadir sama, Ahli Parlimen Kuala Kedah, Dr Ahmad Fakhruddin Fakhrurazi.

Dr Mohd Hayati memberitahu, setakat ini, beliau juga tidak menerima sebarang laporan ataupun aduan berkaitan kualiti makanan dijual di bazar Ramadan di negeri ini.

Sebelum itu, beliau yang juga Pengerusi Persatuan Mencegah Dadah Malaysia (Pemadam) Kedah turun padang melakukan ziarah Ramadan terhadap pesakit kronik, asnaf dan keluarga orang kena pengawasan (OKP) di sekitar Kuala Kedah.

Sementara itu, beliau melahirkan harapan supaya golongan bekas penagih dadah tidak disisihkan,sekaligus diberi peluang kedua dalam hidup mereka.

Menurut Dr Mohd Hayati, beliau mendapati ramai bekas penagih dadah boleh berubah ke jalan yang baik dengan sokongan keluarga dan masyarakat.

Sehubungan itu, kata beliau, pihaknya berharap bekas penagih tidak dilabelkan sebagai sampah masyarakat memandangkan mereka juga mampu berjaya.

Tambah beliau, Pemadam Kedah melakukan pelbagai aktiviti di Kuala Kedah demi mengubah persepsi masyarakat terhadap kawasan itu dan membantu bekas penagih dadah.

Antaranya, kata Dr Mohd Hayati, pihaknya melaksanakan program bagi membantu bekas penagih menjadi usahawan dalam pelbagai bidang.

"Setakat ini, ramai (bekas penagih) kita jumpa ada yang buat sewa bot, buka bengkel membaiki kenderaan dan buat kek," katanya.