Ibu bapa tinggalkan anak sendirian satu kesalahan

Gambar hiasan. Foto: 123RF, gambar kecil dari kiri: Wan Azliana, Hamdan
Gambar hiasan. Foto: 123RF, gambar kecil dari kiri: Wan Azliana, Hamdan
A
A
A

SHAH ALAM - Tindakan ibu bapa atau penjaga yang meninggalkan anak-anak bersendirian di rumah tanpa pengawasan orang dewasa adalah satu kesalahan di bawah Seksyen 31, Akta Kanak-Kanak 2001.

Presiden Pertubuhan Aspirasi Wanita (ASWA), Wan Azliana Wan Adnan berkata, tetap menjadi satu kesalahan apabila ibu bapa menempatkan anak-anak di rumah tanpa pengawasan orang dewasa biarpun ia terpaksa atau dilakukan dengan berat hati.

Beliau yang juga peguamcara berkata, di bawah akta tersebut, sebarang perbuatan menganiayai atau mengabaikan daripada ibu bapa yang boleh mendedahkan kepada kecederaan fizikal atau emosi kepada kanak-kanak merupakan satu kesalahan.

"Dari segi undang-undang, ibu bapa yang cuai boleh didakwa menerusi Akta Kanak-Kanak 2001 (Akta 611) kerana pelakuan tidak bertanggungjawab itu," katanya kepada Sinar Harian pada Jumaat.

Beliau berkata, terdapat beberapa faktor menyebabkan ibu bapa terpaksa meninggalkan anak-anak di rumah tanpa pengawasan orang dewasa.

Katanya, selain kos hidup meningkat dan barangan mahal, pendapatan sederhana di bandar besar membuatkan ibu bapa terpaksa rela.

"Kedua-duanya (ibu bapa) terpaksa keluar mencari rezeki kerana kesempitan hidup.

"Ada ibu bapa terpaksa meninggalkan anak tanpa pengawasan kerana tidak mampu menanggung kos jagaan yang tinggi.

"Walaupun dihimpit dengan kesempitan hidup, perbuatan ibu atau bapa itu tetap salah dan membahayakan keselamatan anak anak," katanya.

Wan Azliana berkata, situasi tersebut dilihatnya sendiri semasa berkempen pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) lalu di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Batu, Kuala Lumpur.

"Saya sendiri melihat anak kecil dikunci di dalam rumah kerana ibu pergi bekerja," katanya.

Oleh demikian katanya, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) perlu lebih agresif melaksanakan tugas mengenal pasti golongan yang benar-benar memerlukan bantuan.

"Saya pernah cadangkan mengenai peranan JKM untuk menempatkan pegawai sosial di setiap kawasan perumahan bagi memantau situasi semasa.

"JKM boleh mengambil pegawai sosial atau pekerja sosial ini daripada kalangan orang ramai atau masyarakat setempat, bukan hanya pegawai JKM di pejabat," katanya.

Sementara itu, Pengerusi Rasuah Busters Selangor dan Wilayah Persekutuan, Profesor Madya Dr Hamdan Daniel berkata, semua pihak perlu memainkan peranan dalam isu keselamatan anak-anak.

"Ibu bapa atau penjaga jangan sesekali mengambil ringan isu keselamatan anak- anak di rumah mahupun di luar rumah.

"Selain itu, jiran juga perlu memainkan peranan sekiranya mendapati ada unsur pengabaian atau unsur bahaya yang boleh mengancam keselamatan kanak-kanak," katanya.

Beliau berharap agar insiden yang mengorbankan empat beradik dalam kebakaran di Muar pada Rabu lalu tidak berulang.